Wednesday, August 18, 2010

Tundukkan Ego Hatiku..

Tundukkan Ego hatiku..
Ya Allah, betapa kerdilnya kami di sisi
Tidaklah layak walaupun secebis kebanggaan bersarang dihati kami
Tiada nilai diri kami ini tanpaMu ya Rabbi
Ya Allah, kembara kami dalam kehidupan ini bertemankan ujian duniawi
Datangnya tidak sunyi bersilih ganti
Mungkin terlalu keras hati ini
Untuk ditundukkan sepenuhnya kepada yang Abadi
Tapi terkadang kami kealpaan
Sedikit ilmu sudah merasakan kehebatan
Sedikit pengalaman sudah merasakan kematangan
Sedikit kenalan merasakan ke'bagus'an
Janganlah ya Allah
Engkau biarkan lagi hati kami ini dicemari
Mazmumah yang menodai nafsi
Merosakkan amal bakti
Tiada bersisa lagi
Luruskan hati kami ya Allah
Agar redhaMu yang kami damba
Bukan pujian manusia yang dipinta
Tiadalah gunanya ilmu yang menggunung
Tiadalah ertinya kepenatan yang di korbankan
Andai ingin dikenang-kenang
Andai ingin menjadi sanjungan
Ya Allah
Jadikanlah sempena hadirnya ramadhan ini
Terdidiklah hati kami
Terbentuklah peribadi kami
Terdorong jasad kami untuk beramal
Tundukkanlah hatiku
Walau bersama dalam perjuangan
Namun andai tersasar tujuan
Ibarat debu yang bertebangan
Tiada kehebatan dan kekuatan
Melainkan hanyalah selayaknya Engkau ya Tuhan
Pimpinlah agar kami sentiasa dalam bimbingan
Tiada yang yang kami harapkan
Melainkan redha Mu yang didambakan
Menuntut sejuta pengorbanan
Menagih seribu kesabaran
Janganlah dakwah menjadi tunggangan
Sekadar di dunia mendapat habuan
Janganlah jemaah yang di santuni
Terpesong dari panduan yang hakiki
Janganlah semangat yang berkobar-kobar
Tidak dipandu ilmu yang benar
Terimalah segala amalan
Mengumpul bekalan menunggu kebangkitan
Biarlah pulangku penuh persediaan
Agar tidak dalam kerugian

Monday, August 16, 2010

Adat ke Ibadat ?? Oh, Ramadhan….!

Adat ke Ibadat ?? Oh, Ramadhan….!
Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran kepada Rabbul I’zzati kerana masih meminjamkan kita ruh dan jasad untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Pengembaran yang kurasakan begitu panjang dan entah bila destinasi yang pasti itu akan tiba yang penghujungnya boleh sampai bila-bila masa sahaja.

Dalam kita menekuni amal ibadah seharian kita, usah dilupakan untuk membiarkan ruang untuk diri kita disirami ilmu. Terkadang kita sendiri tidak sedar, mungkin amalan yang kita lakukan sehari-harian adalah bukan kerana ibadah, tapi kerana adat semata. Lihat sahaja menjelang ramadhan. Mungkin ramai yang sanggup untuk berpuasa tapi ramai pula yang tidak sanggup untuk memastikan solatnya cukup 5 waktu. Ramai yang terlalu mengutamakan solat terawih, namun tidak mengapa mengabaikan solat fardhu. Pelik… Hairan bin Ajaib. Kenapa semua ini berlaku?. Hal ini mungkin disebabkan oleh puasa itu hanyalah sebagai adat yang mesti dilakukan untuk melayakkan diri meraikan Aidilfitri.

Seandailah kita memahami keutamaan antara amalan fardhu dan sunat, pasti kita akan cuba memastikan kesempurnaan solat fardhu, bukan hanya melayan keinginan untuk mengerjakan amalan sunat. Pesanan ini juga untuk diriku. Amalan yang dikerjakan dengan semangat tanpa dipandu ilmu mungkin akan memesongkan kita. Aku juga kerisauan bilamana kutahu, pendapat Imam Nawawi mengatakan bahawa, selagi belum selesai mengerjakan solat fardhu (ada’an dan qadha’) maka adalah berdosa jika kita meneruskan untuk mengerjakan solat sunat. Namun ada pendapat mengatakan , jika tidak mampu hendaklah seiring di kerjakan solat fardhu dan juga sunat. Contoh, dalam semangat kita mengerjakan solat sunat, kita juga perlu bersemangat untuk mengerjakan solat qadha’. Aku tahu, aku bukanlah dibesarkan dalam suasana yang sepenuhnya islamik. Keluargaku sederhana dalam penghayatan Islam namun, mungkin kerana kedegilanku pada zaman silamku menyebabkan aku harus menanggung kesilapanku itu hari ini. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih belum terlambat untuk aku berubah. Allah masih menyayangiku, memimpinku agar tidak terus hanyut di bawa arus deras cabaran globalisasi.

Ku belek helaian kitab suci. Tertera ayat yang biasa kita bacakan di bulan mulia ini..
”wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke aas umat sbeelum kamu. Moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa”.

Aku mula melihat diriku yang banyak kelemahan ini. ”Ya Allah, adakah mampu untukku mencapai level taqwa yang di impikan?”, bisik hatiku sendirian. Dalam Islam, terdapat beberapa level yang menjadi KPI untuk menilai tahap kualiti pencapai diri sebagai hamba Allah. Peringkat paling asas sekali, kita berada di tahap Muslim. Menjadi seorang muslim ini, belum tentu lagi menandakan kita bertaqwa. Kita mungkin hanya muslim pada nama, tapi tidak pada amalan. Kerana itulah tidak hairan, nama indah diberi namun peribadi jauh sekali menghayati muslim ideal yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Solat ditinggalkan, aurat didedahkan, maksiat dilakukan, dosa jadi kebiasaan dan sebagainya.

Pernah suatu ketika seorang lelaki Arab Badwi yang telah memeluk Islam mengatakan kepada Rasulullah bahawa dia telah pun beriman. Namun, Rasulullah membetulkannya dengan memberitahu, katakanalah ”saya telah Islam”. Maksudnya. Hanya dengan menganut Islam, belum tentu melayakkan diri menjadi hambaNya yang beriman. KPI kepada iman bergantung kepada sejauh mana input yang kita dapat dapat menghasilkan output yang diterjemahkan melalui ’amalan.

Input sahaja yang memenuhi namun tiada amalan yang menyusul ,maka tidaklah bermakna apa-apa input yang telah diperolehi itu. Perhatikanlah pada kehidupan para orientalis. Kehebatan mereka dalam mengusai ilmu-ilmu Islam tidak memaknakan apa-apa kerana mereka masih lagi angkuh da tidak mahu beriman kepada Allah serta Rasulnya. Input yang diperolehi hanyalah diperap dan tidak di proses untuk menjadi output. Malah,ianya hanya di proses untuk memesongkan lagi umat Islam daripada agama ini. Semoga memberikan petunjuk kepada mereka dan membuk pintu hati mereka.

Tahap KPI kedua muslim yang berkualiti adalah menjadi Mukmin. Iaitu, seorang muslim yang mampu menterjemahkan keislaman mereka dalam amalan. Kepatuhan melaksanakan perintah Allah serta kewaspadaan terhadap larangan Allah. Dalam al-Quran , banyak sekali Allah menggandingkan ayat ”sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh ...”. Maksudnya keimanan akan mendorong seorang muslim untuk beramal. Ramai orang yang diberi nikmat oleh Allah untuk menguasai ilmu-ilmu agama, tapi ilmu itu tidak langsung dipraktikkan dalam kehidupan, tapi hanya cukup sekadar untuk di terjemahkan dalam tulisan sewaktu peperiksaan. Adakah bidang pengajian agama yang di pelajari itu hanyalah sekadar untuk melayakkan diri mendapat pekerjaan yang terjamin? Ye lah...Permintaan terhadap program dan pengisian agama hari ini semakin bertambah dan diminati. Jika ada kelulusan agama dan pandai bercakap, maka ianya boleh menjadi batu loncatan untuk berjaya dan terkehadapan. Namun.jika orang yang ikhlas menuntut ilmu untuk agama Allah, pasti soal bayaran tidak menjadi matlamat. Lidahnya akan berkata benar walaupun pahit. Tapi, jika kedudukan yang ingin di kejari, nescaya lidah akan terikat dengan keperluan habuan yang akan diperolehi. Jika dihalang untuk menyatakan kebenaran, maka lidah akan membiarkan kebenaran untuk berkubur bersmaa ilmu yang di kambus dalam-dalam.Persoalan jodoh juga mungkin akan dipermudahkan jika ’orang melihat kelulusan agama’. Opps..! Sepertinya Abdullah Khairul Azzam...Pasti gadis diluar sana membayangkan bestnya andainya dapat dijodohkan dengan orang seperti Mas Azzam itu yang berkelulusan agama..

Seterusnya, setelah berjaya menterjemahkan ilmu kepada amalan, jika seseorang muslim itu cenderung untuk sentiasa melakukan kebaikan, dia telah dikira mencapai tahap Muhsinin . Dalam kehidupannya sentiasa merindukan untuk melakaukan kebaikan. Keadaannya yang kaya, miskin, cantik, hodoh tidak menghalangnya untuk terus istiqamah dengan amalan kebaikan.

Tahap KPI yang tertinggi untuk seseorang muslim cuba untuk mencapainya adalah Muttaqin, iaitu seorang muslim yang bertaqwa kepada Allah. Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa? Menurut Umar al-Khattab, taqwa itu umpama saat kita berjalan di jalan yang penuh berduri..maka kita akan berjalan dengan berhati-hati.Maka, orang yang bertaqwa akan sering meraskaan bahawa sentiasa dalam pemerhatian Allah ta’ala. Gerak hati, apa yang difikirkan serta tutur bicara semuanya dalam pengetahuan Allah. Justeru, mendorongnya untuk sangat berhati-hati dalam semua perkara. Sesetengah pendapat menafsirkan taqwa itu sebagai takut kepada Allah, namun kukira yang paling tepat, taqwa itu adalah takut tapi rindu. Dalam kita merasa risau adakah Allah menerima semua amalan kita, kita juga mengharapkan kasih sayang Allah serta merindukan belaian ar-rahman dan ar-rahimNya. Alangkah indahnya Islam. Taqwa inilah yang menjaga seseorang hambanya daripada terjerumus ke lembah dosa. Walau siapapun kita di mata manusia, namun taqwalah yang pandang Allah. Maka hal ini mampu melahirkan masyarakat yang harmoni. Tiada kesombongan, tiada penipuan, tiada kezaliman dan tiada penindasan..Walau siapapun kita dan di mata manusia, title itu memisahkan samaada doktor, cikgu,anak,murid,isteri,suami.ibu,ayah., petani, pemandu namun semuanya adalah sama disisi Allah malahan semua manusia yang bertaqwa pasti akan dibimbing Allah menuju jalan keredhaanNya.

Ruang untuk mendidik diri menjadi hamba yang bertaqwa telahpun disediakan Allah.Kesulitan yang kita tempuhi untuk mendidik diri dibulan ramadhan ini telahpun dipermudahkan oleh Allah kerana di bulan mulia ini, syaitan dibelenggu. Kita hanya perlu berjuang dengan diri kita samaada mampu menundukkan nafsu dan juga tabiat buruk yang telah sebati dalam diri kita sebelum ini. Begitu juga dengan ganjaran yang banyak menanti telah ditawarkan Allah.Seharusnya, peluang madrasah tarbiyah ini kita manfaatkan sebaiknya untuk mencapai tahap muttaqin yang telah di firman oleh Allah dalam kitabNya yang mulia.

Genap Sebulan Sudah Pemergianmu...

06 Ramadhan 1431 H,

Jam menunjukkan 12.15am, melewati hari yang ke enam umat Islam akan menjalani ibadah puasa untuk tahun ini. Hari ini aku sedikit kelelahan, travel dari Bentong ke Shah Alam. Namun,mata yang mengantuk tadi sudah kembali segar..asalnya,aku ingin saja melelapkan mataku, merehatkan mindaku yang bersarang seribu perkara. Tapi, kerancakan perbualanku bersama teman-teman membuatkan aku semakin bersemangat untuk menyentuh kekunci laptop yang sekian lama aku tinggalkan.

Sebulan yang lalu....masih lagi aku terasa...

2 Sya'ban 1431H.

Jam menunjukkan pukul 12.45 tengahmalam. tut tut tut....handset Che Ngoh berbunyi memecah kesunyian malam. 'Eh,kak Biey. Anis Amira dah masuk wad lah. Demam denggi'. Che Ngoh meyapaku yang sedang melayan rasa mengantuk. 'ye ke? tengoklah, dua tiga hari lagi lepas selesai semua program baru aku pergilah. banyak sangat program yang bertembung ni. Tak sempat pulak rasanya nak pergi Hospital Sungai Buloh yang jauh dari Shah Alam ni dengan motor', bisik hati kecilku.'Lagipun demam denggi je kan..insyaAllah sahabat-sahabat sebelumni terkena denggi,diorang pulih je', fikirku sendirian.

3 Sya'ban 1431 H.

Adus, banyak perkara yang perlu aku selesaikan hari ini. Mesyuarat tanpa henti selesai waktu kerja hingga malam agar segala perancangan berjalan lancar..memandangkan kekangan tenaga kerja yang ada tidak ramai, perlulah dirancang sebaik mungkin.

4 Sya'ban 1431 H

Harini agak kalut. Program-program yang bertembung perlu aku uruskan. Kebetulan ada jamuan perpisahan untuk rakan sekerjaku yang akan bertukar tempat kerja. Persiapan untuk program masih banyak yang belum selesai. Dalam kekalutan cuba untuk meraikan semua pihak, handsetku tiba-tiba berbunyi.tut.tut....tut..'salam, sahabat-sahabat doakan keadaan Anis Amira sekarang sedang kritikal, kata doktor harapannya untuk hidup hanyalah 50-50 sahaja'. Berkali-kali cuba ku ulangi untuk membaca kandungan sms tersebut kerana aku hampir tidak percaya dengan kandungan sms itu. 'Ya Allah! berikanlah aku kelapangan untuk aku menziarahi sahabatku..peliharalah keselamatan dirinya.Sembuhkanlah dia ya Allah'. Hatiku mula berdegup kencang. Perasaan bersalah meruntum hatiku. Masakan tidak, terlalu mudah ku membuat andaian bahawa keadaanya tidak serius dan cuba menangguhkan waktu untuk ku menziarahinya. Petang itu aku memandu kereta temanku dengan fikiran yang bercelaru. Hati terbayangkan wajah sahabatku itu. Namun, aku perlu selesaikan sisa tugasanku untuk persiapan program. "Entah bagaimana keadaanmu Anis.."aku hanya bercakap sendirian, diselubungi kerisauan.

"Alamak! apa pula kali ini...aduh..",tiba-tiba kereta yang kupandu, sebelah tayarnya terbenam dalam pasir jerlus yang berselut. Puas aku cuba keluarkan tayar ...tapi gagal. Jam menunjukkan pukul 6.45 petang. "Ya Allah , permudahkanlah urusanku", doa ku dalam hati kecilku. Kerisauanku tentang kondisi sahabatku itu menyebabkan aku kurang fokus pada pemanduan. Syukur ya Allah, sekurang-kurangnya perjalanan ini selamat walaupun ada halangan.

Tiba-tiba datang sekumpulan lelaki renjer dan juga Ustaz untuk membantu. Setelah berhempas pulas mengangkat kereta beramai-ramai, alhamdulillah berjaya juga kereta dikeluarkan.

Setelah selesai solat maghrib, hasratku untuk ku singgah ke program yang kedua kerana kekurangan fasilitator dan urusetia. Namun,kurasakan seperti tidak mungkin aku meneruskannya kerana terasa penat , pening dan perasaan yang bercampur baur. Hatiku meronta-ronta untuk ke Hospital. "Baiklah.. aku nekad untuk ke hospital", tekad ku. Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. "Hmm, boleh ke agaknya nak ke hospital malam macamni"..namun aku tak berputus asa. Ku cuba dapatkan kereta sahabatku serta kawan-kawan yang berkelapangan untuk mengikutiku.


5 Sya'ban 1431 H

Alhamdulillah, jam 12.30 pagi, kami berkonvoi sebanyak 3 buah kereta. Syukur, aku berjaya menuju ke wad ICU tanpa halangan. Di situ kulihat ibu Anis dan adiknya setia menanti di muka wad . Mereka juga tidak dibenarkan masuk di waktu begini. Hanya bersedia untuk di panggil doktor. Wajah ibunya tampak ceria melihat segerombolan kami datang beramai-ramai pada jam 1.30 pagi ini. Kami semua tidak berkesempatan menziarahi pada siang harinya kerana masing-masing mempunyai komitmen besar. Kami bersama-sama membaca Yassin secara berjemaah. Kulihat,mata ibu Anis berkaca-kaca. Mungkin merindui saat kelincahan dan keceriaan Anis apabila memandang kami..

"Mak Cik, saya rasa mak cik perlu rehat. Seharian mak cik penat tunggu kat sini. Esok mk cik perlu berjaga lagi. Mak cik rehat dulu ye...xpe, biar kami je yang gantikan mak cik berjaga malamni". Ibu Anis mengangguk lesu. Asalnya dia menolak, namun mungkin benar, memikirkan keletihan esok harinya maka dia perlu berehat malam ini.Hatiku meronta-ronta untuk melihat sahabatku itu. Puas aku mengelilingi dinding berkaca wad ICU tersebut...mencari-cari ruang untuk kulihat kelibat Anis."Anis, jangan lemah semangat ye.Kak Biey datang untuk temankan Anis..Anis tak sorang-sorang". Harapanku agar Anis yang sedang koma itu mampu mendengar bisik hatiku.

Setiap kakitangan hospital yang keluar masuk di pintu wad tersebut, ku pandang dengan penuh harapan. Agar ada peluang untukku menjengah sahabatku itu. Doktor, nurse, pak cik cleaner, mak guard.."Ya Allah, izinkanlah untuk aku bertemu sahabatku ini"..hati kecilku berdoa penuh mengharap.

Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Tiba-tiba mak guard yang baru sedar dari tidur yang lena melihatku dengan rasa kasihan. Tanpa henti ku cuba mengelilingi dinding sekeliling wad tersebut. "You tunggu sini, nanti i tanya doktor dulu ye".. perkataan yang ku tunggu-tunggu daripada mak guard tersebut. Aku mengangguk penuh mengharap.

"You boleh masuk sekejap sahaja tau.Dua orang saja maximum sekali masuk..Ni, pakai apron , cuci tangan dahulu". Aku tersenyum lebar..."Terima kash ya Allah..."..

Jantungku berdegup kencang..berdebar. "Entah bagaimana keadaanmu Anis",aku bertanya sendirian. Kelibat katil sahabatku itu semakin dekat.

"Ya Allah...banyaknya wayar dan tiub yang menyelubungi sahabatku ini". Keadaannya yang koma (dengan izin Allah) menyebabkannya bergantung pada mesin. Tambahan pula, virus denggi yang terdapat dalam tubuhnya telah merosakkan buah pinggang, hati, paru-paru dan melemhkn jantungnya."Anis sabar ye..jangan rasa sorang-sorang. Kak Biey datang untuk temankan Anis.."..aku hanya mampu berbisik dalam hatiku. Tiak sanggup kulihat penderitaannya. Dia masih tidak sedarkan diri. "Ya Allah, seandainya dapat, ingin ku pikul sebahagian penderitaannya".Tapi apakan daya, Engkau lebih mengetahu rahsia ketetapanMu..

Jam menunjukkan 5.30 pagi. Aku harus pulang kerana tuan empunya kereta ingin menggunakannya selepas subuh. Fikiranku berkecamuk..masih terbayang-bayang wajah sahabatku itu. Rasanya tidak sanggup membiarkan dia menanggung sendirian penderitaan. Di mataku terbayang, saat kemanisan ukhuwah yang terjalin. Suka duka dan gelak ketawa biasanya dikongsi bersama sahabat. Namun, hari ini aku hanya mampu memandang dan mendoakan sahaja sahabatku itu. Tidak mampu untuk ku turut memikulnya.

Jam 6.00 pagi. Matanya yang sangat mengantuk tidak dapat kutahan lagi. Hari ini seharusnya jadualku perlu aku penuhkan dengan program. Namun, hak fizikalku juga perlu aku tunaikan iaitu untuk mendapatkan sedikit kerehatan yang sewajarnya.

Hari ini berlangsungnya walimah 2 sahabat karibku, bekas teman serumahku sewaktu belajar dulu. Namun, hatiku menjadi tawar untuk memenuhi menghadiri majlis mereka kerana perkembangan terbaru Anis menunjukkan keadaanya semakin kritikal. Namun, aku berhasrat untuk singgah ke Majlis sahabatku itu selepas zohor.

Tiba-tiba, ketika azan zohor berkumandang, berita terkini yang aku perolehi menyatakan bahawa Anis hanya semakin kritikal, menurut doktor harapannya untuk hiduo tinggal 1% sahaja lagi. Hatiku semakin gusar untuk kuteruskan hasrat ke majlis walimah. Tanpa berlengah, aku mencapai motorku lalu kuteruskan perjalanan untuk ke Hospital Sungai Buloh. Perjalanan yang mencabar melalui lebuhraya NKVE. Namun, alhamdulillah aku selamat sampai bersama sahabat-sahabat.

Suasana di luar wad ICU hospital cukup suram. Berpuluh-puluh orang memenuhi ruang diluar wad tersebut. Menunggu giliran untuk masuk. Aku turut beratur, tidak melepaskan peluang untukku bertemu dengan Anis.

Kulihat sahabat-sahabatku yang baru melangkah keluar daripada wad, semuanya menahan sebak dan tangis. Aku semakin risau. Bermacam-macam gambaran di wajahku."Anis... kuatkan semangat.."hanya itu yang mampu kubisikkan dalam hati kecilku...

Sekarang telah tiba giliranku pula untuk masuk ke dalam wad. "katil berapa?" soal guard di situ..."no 14", jawabku ringkas.."sorry..sorry, katil no 14 sudah kita tak dapat kasi masuk untuk kawan-kawan...hanya waris saja yang boleh..". Aku tunduk kecewa..merenung ke lantai. Aku hanya mendengar daripada teman-teman yang berkesempatn untuk melihatnya. Walaupun rasa terkilan, aku cuba untuk bertenang dan kuatkan semangat..

Aku tidak berhasrat untuk kupulang. Rasanya, biarlah detik terakhir ini dapat ku temaninya wlaaupun dinding wad memisahkan. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Ya Allah, aku harus selesaikan tugasan di tempat kerjaku sebelum prgoram esok.. Dalam keberatan, aku terpaksa gagahkan diri untuk pulang ke Shah Alam. Hatiku masih setia ingin menemani Anis..

06 Sya'ban 1431 H

Jam 9.15 pagi..Kali ini kuterima panggilan daripada sahabatku. Dalam esakkan , dia memberitahuku bahawa Anis telah tiada. Ya Allah...jantungku berdegup kencang. Setelah aku passkan tugasan kerjaku pada temanku, segera ku bergegas untuk berbincang dengan shabaat-sahabt yang lain. Rupanya, berita tadi tidak sahih.. walaupun bacaan hampir keseluruhan mesin telah menunjukkan kosong, namun gerak nadinya masih berdenyut walaupun lemah. Secara umumnya, sebenarnya dia telah tiada namun doktor ingin memastikan bacaan sepenuhnya 0 barulah pengesahan dilakukan.

10.20 pagi..

Semua bacaan telah menunjukkan 0. Anis Amira Ahmad Lutfi telah kembali ke rahmatullah. Aku masih lagi d Shah Alam, sedang berbincang-bincang dengan sahabat-sahabat. Persiapan untuk menguruskan jenazah Allahyarhamah telah disediakan keluarganya. Juseru,kami memutuskan untuk tidak ke hospital, tapi terus ke rumahnya. Sebuah bas universiti dan hampir 12 buah kenderaan konvoi untuk menziarahi jenazah di Sungai Besar, Selangor. Aku masih lagi bersedih dengan pemergiannya. Sepanjang perjalanan, masih teringat perbincangan aku dengan arwah. Terlalu banyak yang ingin dia lakukan untuk suburkan di bumi kampus ini. Masih ku teringat..aku tersenyum , seronokku melihatnya yang mempunyai semangat yang berkobar-kobar..untuk Islam.
Selepas zohor kami bertolak. Namun, entah mengapa kereta yang mengepalai rombongan telah terlajak jalan dan perlu buat pusingan U. Sampai sahaja di rumah arwah, berpusu-pusu penduduk kampung masuk ke dalam rumah ingin mengusung keranda untuk dimasukkan ke dalam van jenazah untuk di bawa ke masjid. Aku terpaku...kelu tidak terkata...kerana tidak berkesempatan untuk melihat jenazah.

Kami semua turut ke masjid untuk menyembahyangkan arwah. Selesai solat jenazah, hampir 300 orang menyembahyangkannya, jenazah dibawa ke perkuburan di belakang masjid. Sampai di perkuburan, aku hanya duduk jauh di pintu masuk utama. Tiba-tiba, pengumuman dibuat...kepada sesiapan yang belum berkesempatan untuk melihat jenazah, kain kafan pada wajah jenazah akan dibuka sebentar buat kali yang terakhir. Aku segera untuk cuba menatap wajahnya yang terakhir. Namun, sampai sahaja derap kakiku disisi keranda, kain kafannya telah kembali menutupi wajah. Aku terkesima. Tidak mampu untuk ku berkata-kata lagi. Nampaknya memang Allah tidak menginzinkanku untuk menatap wajahnya. Mungkin labih baik bagiku mengenalinya ketika waktunya sihat. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.