Sunday, February 28, 2010

Mencari Cahaya Di Penghujung Perjalanan


Memahami Erti Kehidupan

Kita tidak pernah merancang untuk dihidupkan di dunia ini. Semuanya adalah dengan kehendak Allah jua. Dia jualah yang berhak untuk menentukan bagaimanakah corak dan wajah kehidupan kita ini. Ada insan yang hidupnya penuh bersalut kedukaan seumur hidupnya, ada yang sentiasa di dampingi kenikmatan dunia begitu mengasyikkan dan tidak kurang pula kehidupan yang seperti di tengah lautan yang ada kalanya tenang dan ada kalanya di lambung gelombang.


Kehidupan ini adalah merupakan keindahan kurniaan Allah jika kita memahami akan hikmah yang tersembunyi disebalik setiap apa yang berlaku pada diri kita. Terasa begitu mahal sekali harga untuk mengerti hakikat sebuah kehidupan. Namun, kadang kadang kita dibutakan oleh perasaan tidak menggemari apa yang telah pun ditakdirkan terhadap diri kita. Jika kita melihat dengan mata hati, insyaAllah kita akan lebih mengerti. Dalam al Quran Allah menyebut tentang melihat dengan menggunakan 3 perkataan yang berbeza yang iaitu Ra'ai , Nazoro dan juga Basyir. Ra'ai adalah melihat pada luaran dan zahir sahaja, Nazoro melihat dengan menggunakan aqal untuk menilai manakala Basyir adalah melihat dengan mata hati. Kebanyakkan daripada manusia bukanlah buta pada pandangan mata, namun hati mereka yang buta tidak bisa membuatkan mereka mampu mencari kebenaran.


Maha suci Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana kerana bisa menciptakan manusia dengan penuh kesempurnaan penciptaan. Jika kita perhatikan pada diri kita, pelbagai yang kita telah lalui dalam kehidupan ini. Pasang surut kehidupan yang bisa mematangkan diri. Namun, rakan rakan sekeliling kita masing masing punyai perkara yang berbeza yang mereka lalui dalam kehidupan mereka. Maha Suci Allah, mentadbir sekalian makhluk, tidak ada satu pun yang terlepas pandang. Semuanya dalam pengetahuan dan kawalanNya. Ujian yang datang pada diri manusia sesekali tidaklah untuk menzaliminya. Allah tidak akan sesekali menjadikan sesuatu itu sia sia. Pasti ada sesuatu yang telah Allah sediakan untuk kita disebalik ujian itu. Cuma, mungkin kita mampu menilainya dalam hayat kehidupan ini, ataupun kita hanya bisa merasainya bila bertemu Allah di akhirat nanti. Betapa sayangnya Allah pada hamba hambaNya. Tidak dijadikan amalan semata mata sebagai prasyarat untuk menjadi ahli syurga, namun hamba yang terpilih mendapat rahmatNya juga bisa berpeluang merasai nikmat itu. Subhanallah.


Ya Allah, Beratnya Ujian Ini

Bilamana kita di uji, kita mungkin akan menyalahkan takdir kerana secara adatnya menjadi kebiasaan ,manusia kadang kadang di uji terhadap perkara yang tidak disukainya. Kerana apa kita rasa menderita dengan ujian itu, kerana kita tidak mampu melihat hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Mungkin juga kita tidak memahami maksud yang tersirat yang ingin Allah sampaikan pada kita menyebabkan kita tidak dapat berlapang dada ,menerima ketentuan kehidupan ini. InsyaAllah segala persoalan terdapat dalam kitabNya yang mulia. Yang bisa menjadi penawar yang berharga untuk merawat jiwa kita.


Sepanjang lebih 25 tahun aku bernafas di muka bumi ini, pelbagai lukisan dapat kulihat dalam kanvas kehidupan. Samada pengalamanku sendiri, mahupun pengalaman manusia sekelilingku yang telah mengajarkanku akan makna sebenar sebuah kehidupan. Ada yang di uji dengan keadaan dibesarkan dalam kesusahan hidup. Ada yang di uji dengan keluarga yang bermasalah. Tidak kurang pula yang di uji dengan masalah kesihatan dan sebagainya. Di sebalik lakaran kisah yang berlaku itu, semuanya terpulang kepada individu tersebut untuk menilai ujian ke atas dirinya itu, adakah satu ujian dari Allah ataupun sebagai kifarah. Jika berkesempatan, inginku kongsikan pengalaman beberapa individu yang pernah kukenali. Begitu hebat pengalaman yang mereka alami cukup menginsafkanku dan dapatku mengerti bahawa janganlah berkeluh kesah dengan ujian kehidupan ini kerana jika kita mengeluh kesah bermakna kita telah mengeluh kepada Allah si pemberi ujian namun disebalik keperitan ujian yang kita alami itu sebenarnya tidaklah sehebat ujian ke atas para nabi dan Rasul serta hambaNya yang Allah cintai. Nabi Zakaria wafat dalam keadaan di gergaji hingga terputus dua badan baginda. Tidak kurang pula kisah insan pilihan Allah yang jika meletakkan diri kita dalam situasi mereka, mungkin tidak mampu bagi kita untuk menanggungnya. Tapi, yakinlah bahawa Allah sekali kali tidak akan membebani diri kita di luar daripada kemampuan yang ada. InsyaAllah.


Apa yang harus kita lakukan bila di uji? Hendaklah kita positifkan diri kita terhadap Allah. Janganlah kita berburuk sangka padaNya. Allah akan menuruti sangkaan hambaNya. Sebenarnya di sebalik hati kita yang luka di uji, Allah sediakan satu ruang dalam hati kita yang kosong untuk di penuhi. Jika kita mampu mengisi kekosongan hati itu dengan cuba merasai sentuhan Cinta dan kasih sayang Allah, kita akan merasakan cukuplah Allah bagiku. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dariMu. Allah tidak akan pernah meninggalkan kita sendirian. HambaNya yang di uji sering dalam pemerhatianNya. Bertuahlah andai kita di uji kerana kita sedang dalam perhatianNya. Seandainya kita merasa merasa kecewa pada manusia, percayalah bahawa Allah tidak akan mengecewakan kita. Manusia sering datang dan pergi, namun Allah jualah yang kekal abadi. Jika kita sering meninggalkan Allah saat kita di buai kesenangan, Dia tidak akan meninggalkan kita saat kita di terpa kesusahan. Kesilapan yang pernah kita lakukan sentiasa diberi peluang oleh Allah untuk kita perbaiki. Jika kita dapat merasai nikmat cinta Allah, segalanya sudah cukup bagi kita. Kehidupan ini dirasakan begitu bermakna kerana kehidupan ini adalah jambatan untuk mencapai akhirat yang kekal abadi.


Ya Allah, Engkau kurniakanlah daku nikmat dalam beragama, campakkanlah ke dalam diriku ini rasa cinta kepadaMu, rindu untuk bertemu denganMu serta merasai manisnya beribadah kepadaMu. Biarlah hatiku, lidahku tidak putus memujiMu yang Maha Agong. Setiap nafas yang kusedut adalah tidak layak untukku merasakan hebatnya diriku. Aku hambaMu yang serba kekurangan, kekerdilan serta tidak sempurna ingin menyerahkan diri kepadaMu agar Engkau terus membimbingku ke jalan kebenaran untuk mencapai redhaMu.


Saturday, February 27, 2010

Doktor Juga Pendakwah??


Satu petang yang hening, ketika aku sibuk mengemaskan mejaku di pejabat, aku mendapat panggilan telefon daripada kakakku, "tau tak, abang masuk hospital? Dia ada di HTAR sekarang sorang sorang.". Aku terkejut kerana aku baru je beberapa hari lepas berjumpa dengannya. Dia datang ke Shah Alam dari Terengganu untuk mencari pekerjaan. Dengan berbekalkan kelulusan Ijazah Fiqh Wa Usul, Jami'ah Mu'tah Jordan dia cuba untuk mencari rezekinya di sini. Setelah beberapa kali aku menemaninya untuk mengikuti temuduga kerja, aku kembali memfokuskan tugasan harianku. Namun, panggilan itu bisa membuatkan aku rasa bersalah, seperti tidak bertanggungjawab aje aku tinggalkan dia keseorangan. Keadaan kakakku yang mengandung dan suaminya yang bekerja menyukarkan keadaan. Lalu, aku nekad untuk cuba sebaik mungkin berkhidmat untuk abangku.



Waktu itu sudah maghrib, aku baru tiba di hospital. Selesai solat di surau yang disediakan, Alhamdulillah, aku dibenarkan masuk walaupun di luar waktu melawat. Sampai sahaja, aku rasa kesian melihat tubuhnya yang agak kurus dan kulitnya yang pucat. Dia mempunyai masalah kekurangan darah. Ketika itu, dia sedang menunggu aku untuk membantunya untuk berwudhu'. Alhamdulillah, dia masih lagi bersemangat untuk melaksanakan solat wajib dan sunat di atas katil dengan tabung darah yang tersangkut di tepi katil. Kebanyakkan daripada pesakit di wad itu adalah berbangsa India. Aku tidak berhasrat untuk bermalam di situ kerana segan berada di wad lelaki. Aku tinggalkan beberapa keperluan untuk abangku. Esoknya aku datang semula ke hospital, membawa keperluan yang penting. Kesukaran untuk berwudhu' memerlukan aku untuk membekalkan spray air untuknya.



Alhamdulillah semasa aku masih lagi menuntut di IPT, aku ada mengikuti Bengkel Feqah Perubatan anjuran MESTA, (Medical Student Association) Fakulti Perubatan di kampusku. Bengkel 2 hari tersebut banyak membuka mindaku tentang "Mudahnya Islam". Banyaknya rukhsah atau keringanan yang dibenarkan dalam Islam bila berhadapan dengan situasi tertentu. Sebagai contoh, jika kita mengalami patah pada anggota tubuh dan perlu disimenkan , anggota yang tertutup simen tersebut boleh disapu dengan debu tayamum.



Namun, sedih juga melihatkan pesakit di hospital menjadikan alasan kesakitan mereka sebagai halangan untuk beribadat pada Allah. Sedangkan kita tahu bahawa sakit itu adalah ujian daripada Allah dan ujian ini adalah peluang yang sediakan pada kita untuk di ampunkan dosa, di naikkan darjat di sisi Allah dan juga Allah ingin mengurniakan pahala yang banyak jika kita bersabar menerimanya. Namun, alangkah malangnya jika ujian kesakitan itu menjadikan mereka lebih jauh dari Allah. Apatah lagi dengan keadaan sakit, lebih mengingatkan kita pada detik kematiaan. Dalam program tersebut, Dr yang membuat perbentangan itu membuka mata kepada para hadirin iaitu tugas seorang doktor bukan sekadar memeriksa tahap kesihatan, mencadangkan rawatan dan ubatan yang bersesuaian, namun doktor sangat berperanan penting untuk melaksanakan dakwah. Apatah lagi terhadap pesakit yang sedang di uji itu dan juga pesakit yang mempunyai risiko yang tinggi dalam berhadapan dengan detik kematian.



Alangkah baiknya jika seorang doktor muslim itu tidak hanya merasa cukup dengan sempurna kewajipan dirinya sebagai seorang muslim dari segi pakaian, amalan dan akhlaknya namun dia juga perlu melampiskan nikmat Islam ini kepada pesakit mereka. Apatah lagi, biasanya para doktor cukup dipandang tinggi oleh masyarakat. Apa sahaja yang keluar daripada mulut seorang doktor amat mudah untuk di percayai dan diyakini. Mungkin yang boleh dilakukan oleh seorang doktor adalah, jika berurusan dengan pesakit muslim, boleh ditanyakan kepada pesakit itu samada sudah mengerjakan solat ataupun belum . Disamping itu juga boleh menyuntik semangat para pesakit dengan kata kata yang menyejukkan hati agar mereka lebih berlapang dada menerima ujian Allah ini. Jika terkeluar daripada seorang doktor "pak cik sabar ye, Allah sedang uji pak cik. Setiap kesabaran pak cik dalam menanggung ujian ini Allah akan ganjarkan kebaikan dan pahala yang banyak pada pak cik . Allah uji pak cik kerana Allah sayangkan pak cik. Kerana dalam kesakitan itu, Allah sediakan pahala untuk pakcik, keampunan di atas dosa dosa dan juga mungkin allah uji pak cik agar pak cik berpeluang di naikkan darjat di sisi Allah" maka pesakit tersebut mungkin tidak begitu merasa tertekan dengan musibah yang melanda. Keluarga pesakit yang berhadapan dengan suasana tegang itu juga mungkin lebih tenang apabila mendengar suntikan kata kata penawar dari seorang doktor.



Aku pernah beberapa kali melawat dan menjaga sahabatku yang di tahan di wad hospital. Kebanyakkan pesakit non muslim akan memperhatikan perbuatan kami seperti sahabatku cuba untuk menjaga auratnya sepanjang terlantar di hospital, menjaga solatnya dan juga mempamerkan wajah yang tenang. Mereka hairan, apakah kekuatan yang ada pada seorang muslim yang tika di uji sebegitu namun masih boleh melakarkan wajah tenang dan sabar. Kata kata teman teman yang datang menziarahi menuturkan positif dan penuh hikmah membuatkan mereka asyik untuk mendengar. Biarlah mereka menilai dan memikirkan untuk mencari kebenaran.



Baru baru ini aku menziarahi jiranku meninggal. Mendiang berbangsa Hindu. Hasratku untuk menziarahi kerana memenuhi hak seorang jiran dan juga aku ingin menuruti sunnah yang telah dilakukan oleh Rasulullah. Aku melangkah masuk ke dalam rumah keluarga mendiang dan diminta untuk duduk berhampiran dengan keranda. Aku hanya memerhatikan, dalam aku meraikan hak dalam hidup berjiran aku terfikirkan "seharusnya mereka juga harus diberi hak untuk mendapat kefahaman Islam.". Ketika aku duduk di sisi saudara mara mendiang, mereka sangat gembira seorang muslimah sanggup masuk, bersalaman dan meraikan kesedihan mereka. Alhamdulillah, mereka mula mempunyai persepsi yang positif terhadap muslim. Cuma aku sedikit rasa gementar. Ramainya mereka yang masih belum nampak cahaya Islam. Aku hanya mendoakan agar Allah buka pintu hati mereka untuk mengenali Islam seterusnya mengimaninya.



Berbalik pada kisah doktor juga sebagai pendakwah. Tugasan mereka begitu mulia, melakukan amal kebajikan di samping berpeluang untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Walaupun bebanan tugasan mereka begitu berat, ingatlah wahai para doktor sekalian, semuanya tidak sia sia disisi Allah jika keikhlasan disertakan dalam pengorbana melaksanakan tugasan dan tanggungjawab tersebut.




Persiapan Bakal Doktor..



Terdapat banyak versi bakal doktor yang ada. Ada yang ikuti pengajian di Malaysia, tidak kurang juga di Timur Tengah dan juga Barat. Sesetengah mereka yang sedang megikuti pengajian dalam ilmu perubatan, mereka hanya sekadar ingin menguasai ilmu perubatan tersebut. Namun, bila berhadapan dengan realiti sebenar medan mereka, amatlah penting untuk bakal doktor ini untuk mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit.

Kesabaran dan kemahiran mereka untuk berkomunikasi dengan pesakit amatlah penting.



Namun, sebagai seorang doktor muslim, amatlah penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu asas feqah yang berkaitan dalam bidang perubatan. Terlalu banyak persoalan yang perlu dihadapi. Jika di timur tengah, terdapat banyak peluang kuliah tafaquh yang ada. Namun, bagaimanakah para bakal doktor ini boleh menyalurkan ilmu yang diperolahi itu supaya sesuai untuk diaplikasikan dalam lapangan perubatan? Inilah yang menjadi cabaran buat mereka. Tidak kurang juga mereka yang mengambil bidang perubatan di Malaysia dan juga di beberapa negara di sebelah Barat. Hari ini, group cirlce yang ada dikalangan para pelajar tidak menjadi asing lagi. manfaatkanlah ianya untuk menyuburkan kefahaman, mengasah kemahiran berfikir serta menyerlahkan potensi diri. Di situlah datangnya kekuatan bersama sama sahabat dan teman untuk memahami serta menghayati islam. Namun, hendaklah di seimbangkan antara keutamaan yang ada. InsyaAllah, akan lahirlah doktor muslim professional yang dinanti nantikan kehadirannya untuk sama menyuburkan usaha dakwah di tanah air kita.



Namun, dalam keghairahan untuk menyiapkan diri dengan 'nilai tambah' pada diri seorang doktor , janganlah dilupakan asasnya tanggungjawab dan amanah rakyat yang terpikul di bahu.InsyaAllah semoga Allah memudahkan urusan kalian. Semoga dapat mencapai kecemerlangan dalam akademik seiring dengan kecemerlangan siasah seorang muslim.

Friday, February 26, 2010

Harga Sebuah Perkahwinan..


Perkahwinan itu sebuah ikatan


Dalam Islam, terdapat dua jenis ikatan yang ada iaitu ikatan zahir dan ikatan batin. Ikatan zahir yang boleh kita nampak seperti ikatan tali pada kapal layar manakala ikatan batin adalah ikatan yang tidak nampak namun dirasai kewujudannya seperti ikatan perkahwinan. Namun, antara dua ikatan tersebut, ikatan batin lebih sukar dijaga kerana jika tersilap sedikit, padah seumur hidup. 3 perkara yang tidak boleh di buat main main iaitu Akad Nikah, Murtad dan Cerai..Maka, sama samalah kita berhati hati.


Sebenarnya apa tujuan sebenar kita ingin berumahtangga ye? Ada yang berkahwin kerana nafsu, ada yang berkahwin kerana rasa tak sempurna hidup kalau tak kahwin . Tidak kurang juga berkahwin kerana mak ayah dah bising sebab dah besar panjang tapi masih di bawah ketiak mereka. Ada juga kes berkahwin semata mata untuk menghalalkan hubungan intim berlainan jantina. Tapi tidak mustahil, dalam ramai ramai pasangan yang berkahwin, ada yang berkahwin kerana ingin mengikuti sunnah Rasulullah, menjaga iman dan juga kerana ingin membentuk keluarga yang solehah dan diberkati.


Aku telah jatuh hati pada Shah Alam kerana suasana di sini amat menyeronokkan, masjid dan surau dijadikan sebagaian aktiviti sekeluarga untuk meluangkan masa bersama sama. Hidupnya kuliah kuliah ilmu seiring dengan hidupnya suasana kekeluargaan yang harmoni. Lihat sahaja di bulan ramadhan di Masjid Negeri, suasana yang menenangkan dan indah. Mereka walaupun berkemampuan untuk berbuka puasa di restoran mahal, namun kebanyakkan keluarga di sini memilih untuk berbuka di masjid dan surau bersama keluarga dalam suasana harmoni. Indahnya memiliki keluarga yang solehah dan bahagia, detik hati kecilku. Jika sebelum ini, kita mungkin dilahirkan dalam susana keluarga yang sederhana penekanan terhadap Islam, kita harus berazam untuk membawa keluarga yang sedia ada sekarang ke arah pengislahan dan juga kita harus berusaha untuk cuba membina keluarga yang solehah bermula daripada mencari pasangan hidup lagi. Cantiknya Islam, begitu lengkap di ajar kepada kita panduan kehidupan. Namun, tidak cukup dengan sekadar kita yang mendambakan untuk mendapat pasangan seperti Rasulullah, tapi kita juga harus berusaha ingin menjadi seperti Siti Khadijah. Tidak cukup hanya mengimpikan untuk mendapat suami seperti Saidina Ali jika kita tidak berusaha untuk menjadi seperti Siti Fatimah. Berusahalah bersama sama untuk memperbaiki diri kemudian berusahalah untuk mendapat pasangan hidup yang baik dengan cara yang baik pula dengan matlamat untuk membentuk keluarga yang solehah.


Apa yang ingin aku kupas di sini adalah untuk berkongsi sedikit pandangan terhadap isu baru baru ini yang berlaku. Isu tentang pelajar pelajar IPT mengadakan majlis akad nikah sendiri dan hanya menggunakan rakan rakan mereka sendiri sebagai wali, juru nikah, saksi untuk menikahkan pasangan mereka. Yang pertama, dari sudut hukum semestinya tertolak kerana begitu mudah mereka menjadikan rakan mereka sebagai wali sedangkan kita tahu senarai wali yang perlu diutamakan. Daripada senarai tersebut, tidak meletakkan kawan lelaki boleh menjadi wali, tapi daripada keluarga yang terdekat sendiri.Jika difikirkan, mengapa mereka tegar berbuat begitu? Mungkin mereka ingin membersihkan imej mahasiswa harini yang tercalar dengan maruah dan nilai moral dalam diri mereka. Masakan tidak, seperti menjadi satu kemestian untuk setiap mahasiswa untuk memiliki pasangan semasa sedang mengikuti pengajian. Mungkin faktor pengaruh media elektronik, drama dan filem yang sering menayangkan asyiknya dunia percintaan serta lagu yang melalaikan. Jadi, mereka cenderung untuk bercouple. tapi mungkin ada yang sedar bahawa, bercouple itu tak elok kerana menyuburkan hubungan dengan cara maksiat. Jadi, sebab itu terdapat segelintir yang mengambil keputusan berkahwin seperti itu untuk menghalalkan perhubungan mereka. Dalam Islam, matlamat tidak mengahalalkan cara. Walaupun niatnya bagus supaya tak melakukan maksiat, namun caranya tidak menepati syara'.


Ada jugak berlaku kes pelajar pelajar yang berkahwin secara senyap tanpa pengetahuan ibubapa, sama ada pelajar dalam negara mahupun luar negara. Jika kita lihat, besar implikasinya mendirikan rumahtangga tanpa pengetahuan keluarga. Itulah hikmah mengapa diletakkan perlu adanya wali dalam Islam. Biarlah rumahtangga yang terbina itu barakah dan diterima baik oleh masyarakat sekeliling. Aku tidak bermaksud untuk menyatakan hukum terhadap perbuatan tersebut kerana aku bukanlah Qadhi yang faqeh. Aku hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman rakan kepada teman temanku yang berhadapan dengan situasi ini. kehidupan mereka lebih sulit kerana selagi mana mereka cuba untuk merahsiakan perkahwinan mereka itu, selagi itu hidup dalam kewasapadaan.


Bagaimana dengan pandangan "daripada berterusan melakukan maksiat semasa bercinta, lebih baik kita kahwin aje". Pendapat tersebut, walaupun kurang menepati intipati perkahwinan yang sebenar, namun ia boleh di terima. Cuma, adalah lebih baik untuk berfikir menyiapkan diri untuk menerima tanggungjawab sebagai suami / isteri suatu hari nanti daripada sekadar berfikir mencari cara yang boleh menghalalkan perhubungan mereka. Jika tidak, rumahtangga yang dikecapi mungkin kurang bahagia. Masakan tidak, rumahtangga tidak hanya perlukan cinta untuk hidup tapi perlu pasangan tersebut saling melengkapi dan melaksanakan peranan masing masing sebaiknya. Walau sedalam mana pun cinta suami pada isteri namun jika si isteri tidak mampu melaksanakan tugasan sebagai seorang isteri, rumahtangga itu mungkin boleh di landa masalah. Bayangkan, mereka akan bersama dengan pasangan untuk seumur hidup. Jika seumur hidup terpaksa berhadapan dengan karenah suami / isteri yang tidak memahami peranan dan tanggungjawab masing masing, maka sukarlah keadaan mereka untuk mengecapi kebahagiaan.


Perkahwinan perlulah seiring menepati sunnatullah dan syariatullah. Sunnatullah iaitu fitrah dalam diri setiap makhluk untuk menyayangi dan rasa di sayangi. Rumahtangga yang terbina tanpa dusuburkan rasa kasih dan sayang, walaupun mengikut syariatullah tapi tetap dirasakan hambar. Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah sebagai contoh suami terbaik. Baginda amat mengasihi dan menghargai isteri isteri baginda. Baginda melayan isteri dalam suasana kasih sayang, bukan sekadar memenuhi syarat perkahwinan semata mata.


Begitu juga dengan perkahwinan yang meraikan sunnatullah namun tidak menepati syariatullah. Ramai dikalangan kita yang mengimpikan untuk memiliki keluarga yang bahagia, soleh dan anak anak yang baik. Namun, dalam proses untuk mendirikan rumahtangga itu jika begitu banyak perkara perkara yang tidak di jaga seperti keluar berdua duan, melakukan maksiat tangan, mata, hati, mana bisa rumahtangga yang dididikan itu akan mendapat barakah? Andaikan kita ingin menanam pokok untuk mendapatkan buah yang manis dan sedap di makan, namun kita letakkan baja racun dan pahit. Begitulah dengan perkahwinan, jika baja maksiat kita dah suburkan dalam perhubungan sebelum perkahwinan agak mustahil untuk mendapat hasil buah yang baik iaitu anak soleh solehah penyejuk mata.


Aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menulis hal ini, namun kurasakan di sekelilingku banyak perkara yang disalah tafsir oleh masyarakat yang memerlukan aku bersuara agar dilihat kembali pandanganku ini kita dapat kembali ke landasan yang sebenar.

Realiti dakwah di Malaysia

Realiti Dakwah Di Malysia

Assalamu'alaikum. Maaf buat teman teman yang menantikan artikel terbaru dalam blog ini. Otakku sarat dengan maklumat namun belum cukup kekuatan untuk di lakarkan dalam pena. Semalam aku mengikuti sebuah kuliah, seorang ustaz yang merupakan murid kepada Prof Dr Yusof al Qardhawi. Ustaz itu menceritakan, dalam satu pertemuannya dengan Prof Dr Yosof Al Qardhawi bersama sahabat sahabat seperjuangannya di Malaysia baru baru ini, mereka di pertontonkan jari Sheikh itu yang terdapat lekuk sedikit. Lalu Sheikh bertanya kepada sahabat dalam pertemuan itu, "kenapa agaknya jari ini menjadi begini?" Semuanya terdiam. No idea. "Inilah jari yang sentiasa memegang pena untuk menulis risalah dakwah".. Bayangkan dalam usia yang begitu masih mampu beliau untuk konsisten menulis risalah kebenaran. Jika di himpunkan, mungkin bukunya telah mencapai ratusan yang telah di hasilkan manakala kertas kerja pula mungkin telah mencecah ribuan. Aku pernah mengikuti kuliahnya secara langsung semasa kunjungannyakeMalaysia Awal Muharam yang lalu. Kulihat, dalam syarahannya yang bertajuk FIQHUL JIHAD, walaupun rasanya masa yang diperuntukkan tidaklah banyak, namun beliau mampu menyampaikan dengan padat, kemas dan bermakna. Sebagai mukaddimah, aku malu pada beliau yang masih aktif menulis dan menyampaikan kebenaran walaupun usianya yang semakin lanjut, namun beliau mengumpulkan segala kekuatan untuk menggunakan dan memanfaatkan segala ruang yang ada untuk berpena dan menyampaikan risalah kebenaran Islam. He he, aku yang masih muda remaja pun tidak mampu walaupun hanya sekadar update blog.

Aku tertarik dengan pandangan Ust Hasrizal Saiful Islam baru baru ini dalam beberapa programnya yang aku ikuti baru baru ini iaitu beliau selama 8 tahun berada di bumi Jordan kemudian ke UK dan bertugas sebagai Imam di sana dengan pelbagai pengalaman yang mengkayakan nilai diri beliau sebagai hamba Allah, beliau dapat menerima dengan tenang akan segala kesulitan dan suasana dakwah serta cabarannya di sana. Namun, beliau terkena Cultural Shock apabila tiba di Malaysia. Pelbagai kes pelik yang di luar logik aqal dan kewarasan seorang manusia. Masakan tidak, banyak kes rogol dan bunuh yang pelik berlaku. Jika kita masih ingat seorang gadis Allahyarhamah Nur Suzaily yang matinya di bakar serta di letakkan di dalam tong najis. Tidak lupa juga kes menyayat hati yang masih lagi belum ada khabar terhadap penjenayahnya sampai hari ini iaitu allahyarhamah adik Nurin Jazilin yang kematiannya amat tragis. Kematiannya dipercayai kerana jangkitan kuman pada kemaluannya yang telah pecah kerana telah di masukkan terung dan timun batang hingga ke paras ususnya. Tidak lupa juga kes seorang ibu yang tidak bertanggungjawab telah meletakkan anak luar nikahnya yang telah dilahirkan lalu dicampakkan dari tingkat 9 sebuah bangunan.

Kalau lah di fikirkan sedalamnya, Ya Allah besarnya cabaran mendidik masyarakat hari ini. Dalam kegawatan moran dan akhlak yang meruncing, semua pihak kena bersatu hati dan berusaha untuk menanganinya. Pelajar pelajar sekolah hari ini semakin kurang beradab terhadap guru. Seorang temanku, pelajar Fakulti Pendidikan menceritakan bagaimana pengalamannya semasa praktikal menjadi guru Biologi pada tahun lepas. Memang menyedihkan, pelajar pelajar sudah berani mengherdik dan merendah rendahkan guru mereka. Mereka meresa hebat dengan kelebihan tuisyen di rumah mereka secara personnal. Hmm, jika hanya kejayaan zahir yang diharapakan, apalah maknanya kejayaan itu. Semuanya bagiku tiada nilainya jika berjaya tapi tidak berakhlak. Bersabarlah wahai guru guru sekalian. Jika niat kita ikhlas mendidik insyaAllah walaupun hari ini penuh kepayahan namun berkat kesabaran dan keikhlasan itu Allah akan berikan banyak barakah pada seorang guru. Guru hanya bukan untuk menyampaikan apa yang ada dalam silibus, namun tugasnya juga adalah untuk mendidik. Namun,suasana masyarakat hari ini menyukarkan guru untuk mendidik pelajar mereka. Jika tersilap langkah, mungkin akan di saman oleh pihak ibubapa.

Sebenarnya nilai moral yang pincang hari ini sukar untuk kita pulihkan sepenuhnya. Walaupun kesedaran dakwah makin subur, namun ianya tidak dapat memperbaiki secara keseluruhan kerana walaupun pembaikan yang dilakukan oleh banyak pihak kerana kita masih berlegar pada sistem kehidupan dan dasar yang tidak mengikut acuan Allah. Jika di ibaratkan kotoran di hulu sungai kerana terdapat bangkai gajah, namun kita cuci di hilir sungai dengan pelbagai usaha. Selagi bangkai itu tidak di buang, tidak akan memeberi erti walau sedozen minyak wangi kita taburkan di hilir sungai. Begitu jugalah dengan negara kita. Terlalu banyak pertubuhan Islam yang bergerak untuk melaksanakan dakwah dengan pelbagai pendekatan. Namun ,jika tiada usaha untuk merubah sistem agar sepenuhnya kembali mengamalkan apa yang terkandung dalam Islam secara total maka agar sukar untuk mengubah keadaan masyarakat hari ini.

Jika kita lihat 7 peringkat yang terkandung dalam risalah Ta'alim , kurasakan apa yang di utarakan itu insyaAllah adalah yang terbaik untuk mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi ini. Berikut merupakan terjemahan yang dipermudahkan huraiannya untuk difahami.
1) Memperbaiki diri untuk menjadi mukmin yang sejati
2) Membentuk keluarga Muslim
3) Membimbing masyarakat untuk menghayati dan mengamalkan Islam
4) Membebaskan negara daripada sistem ciptaan manusia kepada sistem Islam
5 ) Melakukan pembaikan dalam kerajaan hingga benar benar melaksanakan Islam
6 ) Mengembalikan khilafah Islam yang pernah dikecapi suati waktu dulu
7) Kepimpinan Islam bersifat seluruh alam, menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia

Amat cantik susunan yang telah di buat. InsyaAllah apa yang telah di janjikan Allah dalam surah An Nuur akan berlaku suatu hari nanti iaitu Allah akan mengembalikan kekuasaan Islam di muka bumi ini.