Wednesday, December 30, 2009

Dakwah Untuk Semua

Hari ini aku amat gembira dapat bertemu semula dengan sahabat-sahabatku. Kerinduanku pada teman-teman yang sering mendorongku kepada kebaikan terubat sekembalinya mereka daripada cuti pengajian. Bila aku melihat aku dan teman-temanku, penampilan kami seperti pelajar sekolah agama walhal di universiti kami ini walaupun hampir 99% muslim, namun tiada bidang pengajian agama. Semuanya datang daripada kehendak Allah yang menggerakkan hati kami untuk mencari erti kehidupan dalam kelompok anak-anak muda yang inginkan kehidupan beragama sebagai cara hidup.

Kehidupan mahasiswa hari ini, agak merisaukan. Masakan tidak, kemestian untuk mencari pasangan hidup dengan cara yang bertentangan dengan nilai agama, berpakaian yang di anggap up to date namun seperti tidak bertamadun, keinginan yang ghairah untuk menukar perwatakan jantina: yang sudah jelita ingin menjadi tomboi, yang sudah kacak ingin menjadi ayu, manakala para pendidik di universiti hanyalah berperanan sebagai penyampai kepada silibus subjek yang ada, tidak lebih dari itu.

Namun, sesekali aku hairan melihat berbondong-bondong manusia yang ada kesedaran beragama agak menghadkan fokus sasaran dakwah. Mereka menumpukan di surau-surau dan program-program agama. Agak malanglah jika sesiapa yang tidak tergolong di kalangan 'kaki surau' ataupun 'pecinta majlis ilmu' sebab tidak ada golongan beragama yang ingin mendekati mereka. Seharusnya, suara dakwah ini perlu dilebarkan keseluruh dunia. Dakwah untuk semua. Risalah kebenaran ini tidak perlu memilih golongan tertentu.Mengapa hanya bertumpu di surau dan program agama semata-mata? Apakah kerana ingin meramaikan keahlian kelompok tertentu? Di manakah hakikat kewajipan berdakwah, adakah untuk amar ma'ruf semata-mata dan mengabaikan perintah nahi mungkar?

Sebenarnya, hakikat yang berlaku di luar sana lambakkan manusia yang masih berada dalam kegelapan, tidak menjadikan agama sebagai penyuluh kehidupan. Di manakah kita? Baru-baru ini aku dijemput untuk menyampaikan ceramah yang berkisar tentang akhlak remaja muslimah. Aku amat terkejut apabila dimaklumakan oleh urusetia program bahawa hampir 50% daripada peserta itu pernah menonton video lucah dalam hidup mereka. Mereka berusia sekitar 7-13 tahun. Seingatku, apabila aku mula menamatkan pengajianku, aku mula belajar untuk menyesuaikan diri dengan kelompok masyarakat yang lebih besar. Aku benar-benar terkejut, di sebuah pejabat, para pekerjanya menjadikan perkara-perkara yang lucah itu sebagai satu gurauan. Apatah lagi pekerja yang melalaikan solat, tak sempurna menutup aurat. Nah, inilah lapangan masyarakat sebenar yang menantikan suara dakwah asmpai pada mereka. Aku penat memikirkan, ya Allah..banyaknya tanggungjawab yang aku kena laksanakan. Kerja-kerja mengajak manusia ke jalan Allah tidak akan pernah habis. Itu baru di satu tempat, belum di kira lagi kelompok masyarakat yang lain. Aku pernah mengikuti sahabatku meronda-ronda di belakang Lorong Haji Taib pada jam 4 pagi. Ya Allah, perkara yang selama ini aku hanya tonton di tv dapat kulihat secara realiti. Memang hanya istighfar yang mampu ku ucapkan. "Mereka perlu di selamatkan", bisik hati kecilku.

Ya.. Allah, mampukah aku nak melaksanakan tanggungjawab ini? Usiaku tidak ku pasti berapa lamakah baki yang tinggal. Adakah masa rehatku melebihi masa untuk aku peruntukkan untuk menyeru manusia ke jalanMu? Aku khuatir ya Allah, seandainya di masyar kelak masyarakat ini akan menyalahkanku kerana kegagalan aku menyampaikan suara dakwah kepada mereka.

Baru-baru ini,aku ada mengikuti satu program anjuran kerajaan negeri Selangor, di bawah Exco Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali. Beliau merangka satu projek besar untuk amar ma'ruf nahi mungkar di negeri Selangor ini. Melalui projek GeMS (Generasi Idaman Selangor), banyak aktiviti dakwah yang dirancang untuk mendekatkan diri dengan pelbagai golongan masyarakat agar tidak asing dengan suara dakwah. Antaranya adalah program bersama-sama dengan penunggang wanita daripada kelab motor, boling remaja interaktif, futsal dan sebagainya. Program seperti ini mampu menarik anak-anak muda untuk hadir ke program dan pengisian adalah yang berbentuk mengajak mereka kepada kebaikan. Alhamdulillah, amanah yang dipikul dilaksanakan dengan sebaiknya untuk menjalankan kewajipan berdakwah dengan lebih berkesan. Tidak kusangka, para penunggang itu yang kelihatan rockers tidak kekok bila berada bersama dnegan teman-temanku, walaupun ada dikalangan temanku itu berpurdah. Sekurang-kurangnya, program ini mampu mendekatkan jurang antara dua golongan yang dilihat berbeza di mata masyarakat ini.

Namun, dalam keseronokanku kerana aktiviti dakwah kian racak dijalankan di selangor dalam tempoh dua tahun ini, masih terpalit kesedihan dalam hati kecilku. Di Malaysia terdapat banyak kelompok Islam yang ada. Namun, agak malang kerana mereka menjadikan kelompok Islam yang berbeza dengan mereka itu sebagai satu pesaing. Lantas, mereka bersaing dengan tidak sihat. Maka, berlakulah perbuatan yang kurang bermoral dikalangan pendokong agama iaitu keji mengeji, kata-mengata dan kutuk mengutuk terhadap kelompok Islam yang tidak bersama dengan mereka. Adakah mereka tidak sedar bahawa, kelompok Islam yang berbeza itu adalah sahabat, bukannya musuh. Kerana musuh Islam telah sedia ramai berada di luar sana. Dalam peperangan Ahzab, pihak musuh boleh bersatu untuk menentang Islam. Namun, sedih bilamana terdapat kelompok Islam yang saling memburuk-burukkan antara satu sama lain. Sebenarnya, tidak adapun kelompok Islam yang sempurna. Setiap satunya ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Itulah yang sepatutnya melengkapkan antara satu sama lain.Amatlah malang jika sesama pendokong Islam ini bercakaran sesama sendiri. Amat merugikan ISlam dan menyenagkan musuh kerana percakaran yang berlaku tidak menambahkan kekuatan kita.

Aku hairan, jika dengan kelompok bukan Islam kita boleh berkerjasama. Sebagai contoh, untuk kelompok pelajar, mereka boleh bersatu di bawah SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia) yang mana keahliannya daripada kelompok Dema (mahasiswa berbangsa Cina), Universiti Bangsar Utama (ada golongan mahasiswa berbangsa india), Gamis, Karisma, dan PKPIM. Namun, diperingkat pertubuhan kelompok Islam sendiri, tidak bersatu di bawah satu entiti. Ada banyak kelompok Islam di Malaysia ini, samada peringkat induk mahupun peringkat mahasiswa. Gamis , Karisma / Konsist, PKPIM, Pembina / ISMA, Haluan, PKS, Hizbut Tahrir, Tabligh, PAKSI dan sebagainya. Sampai bila kita tidak akan bersatu? Sedangkan dalam surah As-Soff ayat 4 Allah berfirman "Sesungguhnya Aku mencintai orang-orang yang berjuang pada jalanNya dalam 1 Soff seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh". Maksudnya, Allah amat membenci orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam banyak soff. Kenapakah kita tidak boleh bersatu? Kerana setiap kelompok ingin menjayakan agenda masing-masing dan agak sukar berlapang dada dengan kelompok yang lain. Inilah yang dimusykilkan, kerana semua kelompok Islam ini bermalatkan untuk menegakkan Islam, cuma kaedah dan pendekata yang berbeza.

Aku harapkan, untuk kepentingan masa depan Islam dan ummah sejagat, adanya uasaha untuk mendekatkat jurang yang terpisah antara kelompok-kelompok Islam ini. Tidak perlu kita terlalu taksub pada kelompok masing-masing kerana organisasi yang didokongi itu hanyalah platform semata-mata untuk mencapai matlamat pejuangan Islam.

No comments:

Post a Comment