Sunday, March 7, 2010

Adikku...


Assalamu'alaikum adikku,
Hidup ini rasanya terlalu singkat. Telah banyak pusingan yang kita lalui, tidak pasti berapa banyakkah lagi yang berbaki. Setiap pusingan itu ada pasang surutnya. Namun, yakinlah bahawa setiap satunya Allah takdirkan tidaklah sia sia.
Adik, ketika berada jauh di perantauan akak dapat merasakan begitu besarnya cabaran yang mendatang dalam hidupmu. Menahan rasa kerinduan pada keluarga yang ditinggalkan, di tambah pula tanggungjawab dan tugasan yang perlu di selesaikan sebagai pelajar dan juga sebagai hamba Tuhan. Namun adik, ingatlah bahawa diri kita tidaklah sempurna. Janganlah terlalu mengejar kesempurnaan hingga memberi tekanan pada hati dan perasaan. Kita sering mengimpikan kesempurnaan, namun kita sebagai hamba Allah yang tidak bersifat sempurnya tidak bisa untuk menyempurnakan kehidupan. Kesempurnaan itu hanyalah milikNya jua. Andai kita mengerti akan hakikat kekerdilan diri, kita tidak akan mendambakan sesuatu di luar kemampuan diri. Akak sudah cukup berbangga mempunyai adik sepertimu, yang sangat optimis terhadap perkara perkara kebaikan. Namun adikku, lakukanlah menurut kadar kemampuanmu. Adik, teruskan langkahmu dan janganlah mudah tersungkur. Bumi Allah ini luas, kekuasaanNya meluputi seluruh langit dan bumi, namun rahmatNya lebih luas dari itu.
Bilamana adik menyatakan masalah yang adik alami, tidak pernah terlintas untuk akak menyepikan persoalan itu. Namun, kadang kadang kebutuhan waktu yang begitu mencengkam membataskan kemampuan untuk akak segera bersuara. Akak sentiasa berfikir, bagaimanakah untuk membantumu, walaupun mungkin tidaklah mampu untuk menyelesaikannya, namun sekurang kurangnya dapatlah meringankan beban dalam benak fikiranmu, yang selama ini membuatkan kau sentiasa merasa lemah, menyembunyikan sendu dalam kesibukan seharianmu.
Walaupun sukar sekali untuk kita bersua, jarak yang memisahkan dan kesibukan masing masing yang membataskan, namun tautan ukhuwah yang terjalin keranaNya insyaAllah di iringi keberkatan dan redhanNya. Kerisauan hati ini makin ketara jika adik membisukan diri. Akak tahu adik yang lebih memahami tarbiyyah dari rabbul 'izzati, dapat mengerti hakikat semua ujian yang telah Allah sediakan. Namun, sebagai seorang kakak dan sahabat, rasanya tidak sanggup untuk terus membiarkan adik lemas dalam kesedihan.

Seorang atlit yang sedang berlari untuk menamatkan pusingan, akan berfikir panjang di saat keletihan yang memuncak kerana andai dia berundur nescaya kegagalan terpaksa di terima. Maka, dia akan memperlahankan lariannya sebentar untuk mengimbangi dirinya seterusnya memecut tika kekuatan itu pulih kembali hingga tiba ke destinasi. Justeru adik, di saat tekanan memuncak, usahalah berfikir untuk berundur ke belakang, namun adikku engkau carilah kekuatan dalam dirimu. Berusaha melangkah ke hadapan Akak tidak bisa untuk memberikan kekuatan itu, kerana kekuatan hanyalah milik Allah.
Semalam akak menziarahi sahabiah akak yang terlantar di hospital, mengidap penyakit misteri. Usianya masih muda, menjangkau 24 tahun namun di uji Allah begitu hebat. Dia tidaklah dapat mengecapi kasih sayang sepertimana keluarga lain yang bahagia dalam lautan kasih sayang ibubapa. Ibunya telah meninggal dunia dan dia sebagai anak sulung perlu menggalas tanggungjawab itu. Walaupun di uji hebat, namun dia cukup kuat. Kecemerlangannya dalam akademik cukup membanggakan bagi siapa yang mengenalinya. Tapi apakan daya, Allah mengasihinya. Selepas ujian yang besar dalam keluarganya itu, dia diuji pula dengan sakit misteri. Sudah hampir dua bulan sakitnya telah membuatkan dia hilang upaya untuk melakukan apa sahaja, sehingga untuk mengangkat tangannya pun tidak mampu. Badannya di penuhi lebam dan tompokan putih dan merah yang begitu aneh. Jika tiada orang yang menjaganya, maka dia tidak mampu untuk makan atau pun mengangkat tangan untuk mencapai gelas dan pinggan yang terhidang. Ya Allah, benarlah kami kerdilnya hambaMu. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan keizinanMu jua.
Apabila akak bertanyakan kepadanya, bagaimana dia solat jika tiada orang yang dapat menjaganya ketika itu kerana dia sangat tidak bisa untuk berwudhu' sendiri dan terdapat tompokan darah pada pakaiannya itu untuk dibersihkan. Dia hanya menjawab "saya solatlah semampu saya, dengan tanpa wudhu' dan dengan hanya kerlipan mata.". Akak walaupun berwajah manis di hadapannya, namun jauh dalam hati ini menangis simpati pada dirinya. Ujian hidupnya silih berganti dan ujian itu bukanlah calang calang ujian ,amat perit untuk di pikul. Namun, dia menerima semuanya dengan redha dan tawakkal pada Allah. Tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk berburuk sangka pada Allah. Semuanya dia serahkan pada Allah tanpa mengabaikan ikhtiar dan usaha untuk memulihkan.
Sekiranya kita mengenangkan nasib saudara kita di Palestin, pernahkah kita terfikir bahawa tidakkah mereka bosan di uji kesakitan, ketakutan setiap hari? Namun adikku, mereka walaupun di uji sebegitu dasyat, anak anak kecil ke sekolah yang mana mereka sendiri tidak pasti apakah mereka mampu kembali lagi ke rumah. Pelbagai ancaman yang di kenakan namun mereka teguh dan yakin dengan janji Allah. Di malam hari, mereka lah pejuang muda yang sangat berani. Menggempur musuh tanpa memikirkan usia mereka yang masih mentah. Seawal usia sekolah rendah, sudah mampu memikul senjata. Seawal usia mereka juga, mereka mengerti akan kesengsaraan dan penindasan yang membuatkan mereka menzahirkan rasa tanggungjawab dalam diri dengan kesanggupan untuk turut sama berjuang mempertahankan bumi Palestin tercinta. Namun, di siang harinya lagak mereka seperti biasa, seolah olah tiada apa yang berlaku pada malam harinya. Namun adikku, mereka tidak pernah bosan dan jemu di uji, tapi berterusan meggalas pergantungan dan tawakkal yang tinggi pada Ilahi.
Adikku, andainya adik merasakan segala yang terpikul di bahu adik adalah di luar kemampuanmu, adik mohonlah pada Allah agar diberikan kekuatan. Tapi sekiranya tanggungjawab itu membuatkan adik akan tersungkur jika meneruskan langkah, adik berbicaralah dengan berhikmah pada orang yang selayaknya. Allah akan menguji kita dari pelbagai aspek , samada teruji dengan hati dan perasaan selain dari harta dan apa yang kita punyai. Hati dan perasaan yang teruji bisa mematangkan, yang boleh membentuk diri adik lebih cekal, tabah, kuat dan matang suatu hari nanti.
Terlalu banyak kisah orang orang yang hebat di sisi manusia, mereka juga hebat di uji di sisi Allah. Semuanya bermula dari proses kehidupan yang di jalani dengan persandaran pada Ilahi. Adik lihatlah proses pembuatan pedang yang hebat, bisa membunuh dalam pertempuran. Ianya bermula dari besi yang ditempa dalam kilauan api yang membakar, kemudian di ketuk berkali kali untuk di bentuk. Sakitnya besi itu dibakar, sakit lagi di ketuk selepas itu, namun dengan kehebatan proses itu mampu melahirkan pedang yang hebat pula. Bersyukurlah adik di uji, insyaAllah adik mampu melalui ujian ini dengan bersandarkan pada tawakkal dan redha disamping usaha padaNya. Bermohon agar diberikan kekuatan dan Allah tujukkan jalan untuk teruskan pengembaraan untuk menamatkan pusingan dalam kehidupan dalam keberkatan.

No comments:

Post a Comment