Sunday, February 28, 2010

Mencari Cahaya Di Penghujung Perjalanan


Memahami Erti Kehidupan

Kita tidak pernah merancang untuk dihidupkan di dunia ini. Semuanya adalah dengan kehendak Allah jua. Dia jualah yang berhak untuk menentukan bagaimanakah corak dan wajah kehidupan kita ini. Ada insan yang hidupnya penuh bersalut kedukaan seumur hidupnya, ada yang sentiasa di dampingi kenikmatan dunia begitu mengasyikkan dan tidak kurang pula kehidupan yang seperti di tengah lautan yang ada kalanya tenang dan ada kalanya di lambung gelombang.


Kehidupan ini adalah merupakan keindahan kurniaan Allah jika kita memahami akan hikmah yang tersembunyi disebalik setiap apa yang berlaku pada diri kita. Terasa begitu mahal sekali harga untuk mengerti hakikat sebuah kehidupan. Namun, kadang kadang kita dibutakan oleh perasaan tidak menggemari apa yang telah pun ditakdirkan terhadap diri kita. Jika kita melihat dengan mata hati, insyaAllah kita akan lebih mengerti. Dalam al Quran Allah menyebut tentang melihat dengan menggunakan 3 perkataan yang berbeza yang iaitu Ra'ai , Nazoro dan juga Basyir. Ra'ai adalah melihat pada luaran dan zahir sahaja, Nazoro melihat dengan menggunakan aqal untuk menilai manakala Basyir adalah melihat dengan mata hati. Kebanyakkan daripada manusia bukanlah buta pada pandangan mata, namun hati mereka yang buta tidak bisa membuatkan mereka mampu mencari kebenaran.


Maha suci Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana kerana bisa menciptakan manusia dengan penuh kesempurnaan penciptaan. Jika kita perhatikan pada diri kita, pelbagai yang kita telah lalui dalam kehidupan ini. Pasang surut kehidupan yang bisa mematangkan diri. Namun, rakan rakan sekeliling kita masing masing punyai perkara yang berbeza yang mereka lalui dalam kehidupan mereka. Maha Suci Allah, mentadbir sekalian makhluk, tidak ada satu pun yang terlepas pandang. Semuanya dalam pengetahuan dan kawalanNya. Ujian yang datang pada diri manusia sesekali tidaklah untuk menzaliminya. Allah tidak akan sesekali menjadikan sesuatu itu sia sia. Pasti ada sesuatu yang telah Allah sediakan untuk kita disebalik ujian itu. Cuma, mungkin kita mampu menilainya dalam hayat kehidupan ini, ataupun kita hanya bisa merasainya bila bertemu Allah di akhirat nanti. Betapa sayangnya Allah pada hamba hambaNya. Tidak dijadikan amalan semata mata sebagai prasyarat untuk menjadi ahli syurga, namun hamba yang terpilih mendapat rahmatNya juga bisa berpeluang merasai nikmat itu. Subhanallah.


Ya Allah, Beratnya Ujian Ini

Bilamana kita di uji, kita mungkin akan menyalahkan takdir kerana secara adatnya menjadi kebiasaan ,manusia kadang kadang di uji terhadap perkara yang tidak disukainya. Kerana apa kita rasa menderita dengan ujian itu, kerana kita tidak mampu melihat hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Mungkin juga kita tidak memahami maksud yang tersirat yang ingin Allah sampaikan pada kita menyebabkan kita tidak dapat berlapang dada ,menerima ketentuan kehidupan ini. InsyaAllah segala persoalan terdapat dalam kitabNya yang mulia. Yang bisa menjadi penawar yang berharga untuk merawat jiwa kita.


Sepanjang lebih 25 tahun aku bernafas di muka bumi ini, pelbagai lukisan dapat kulihat dalam kanvas kehidupan. Samada pengalamanku sendiri, mahupun pengalaman manusia sekelilingku yang telah mengajarkanku akan makna sebenar sebuah kehidupan. Ada yang di uji dengan keadaan dibesarkan dalam kesusahan hidup. Ada yang di uji dengan keluarga yang bermasalah. Tidak kurang pula yang di uji dengan masalah kesihatan dan sebagainya. Di sebalik lakaran kisah yang berlaku itu, semuanya terpulang kepada individu tersebut untuk menilai ujian ke atas dirinya itu, adakah satu ujian dari Allah ataupun sebagai kifarah. Jika berkesempatan, inginku kongsikan pengalaman beberapa individu yang pernah kukenali. Begitu hebat pengalaman yang mereka alami cukup menginsafkanku dan dapatku mengerti bahawa janganlah berkeluh kesah dengan ujian kehidupan ini kerana jika kita mengeluh kesah bermakna kita telah mengeluh kepada Allah si pemberi ujian namun disebalik keperitan ujian yang kita alami itu sebenarnya tidaklah sehebat ujian ke atas para nabi dan Rasul serta hambaNya yang Allah cintai. Nabi Zakaria wafat dalam keadaan di gergaji hingga terputus dua badan baginda. Tidak kurang pula kisah insan pilihan Allah yang jika meletakkan diri kita dalam situasi mereka, mungkin tidak mampu bagi kita untuk menanggungnya. Tapi, yakinlah bahawa Allah sekali kali tidak akan membebani diri kita di luar daripada kemampuan yang ada. InsyaAllah.


Apa yang harus kita lakukan bila di uji? Hendaklah kita positifkan diri kita terhadap Allah. Janganlah kita berburuk sangka padaNya. Allah akan menuruti sangkaan hambaNya. Sebenarnya di sebalik hati kita yang luka di uji, Allah sediakan satu ruang dalam hati kita yang kosong untuk di penuhi. Jika kita mampu mengisi kekosongan hati itu dengan cuba merasai sentuhan Cinta dan kasih sayang Allah, kita akan merasakan cukuplah Allah bagiku. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dariMu. Allah tidak akan pernah meninggalkan kita sendirian. HambaNya yang di uji sering dalam pemerhatianNya. Bertuahlah andai kita di uji kerana kita sedang dalam perhatianNya. Seandainya kita merasa merasa kecewa pada manusia, percayalah bahawa Allah tidak akan mengecewakan kita. Manusia sering datang dan pergi, namun Allah jualah yang kekal abadi. Jika kita sering meninggalkan Allah saat kita di buai kesenangan, Dia tidak akan meninggalkan kita saat kita di terpa kesusahan. Kesilapan yang pernah kita lakukan sentiasa diberi peluang oleh Allah untuk kita perbaiki. Jika kita dapat merasai nikmat cinta Allah, segalanya sudah cukup bagi kita. Kehidupan ini dirasakan begitu bermakna kerana kehidupan ini adalah jambatan untuk mencapai akhirat yang kekal abadi.


Ya Allah, Engkau kurniakanlah daku nikmat dalam beragama, campakkanlah ke dalam diriku ini rasa cinta kepadaMu, rindu untuk bertemu denganMu serta merasai manisnya beribadah kepadaMu. Biarlah hatiku, lidahku tidak putus memujiMu yang Maha Agong. Setiap nafas yang kusedut adalah tidak layak untukku merasakan hebatnya diriku. Aku hambaMu yang serba kekurangan, kekerdilan serta tidak sempurna ingin menyerahkan diri kepadaMu agar Engkau terus membimbingku ke jalan kebenaran untuk mencapai redhaMu.


No comments:

Post a Comment