Friday, July 10, 2009

Gelodak Jiwa Seorang da'ie

Satu fenomena yang sering dirasai oleh para pendakwah adalah takut di uji dengan kata-kata sendiri. Aku juga sering merasakan demikian. Tatkala lidahku petah menyarankan nasihat , tiba-tiba aku sendiri diterpa ujian yang amat berat kurasakan. Benar sebagaimana firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu tidak melakukan apa yang engkau katakan. Sesungguhnya amat besar kemurkaan disisi Allah orang-orang yang mengatakan tapi tidak kotakan". (as-Soff:2-3).

Persoalannya, sampai bilakah kita ingin memastikan diri kita sempurna barulah kita dianggap layak untuk memberikan peringatan? Sebenarnya insan yang sempurna hanyalah Rasulullah, kita yang tidak maksum ini penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Perkara ini dikupas oleh temanku dengan kemas, hingga aku tersenyum kepuasan. Walaupun aku bukan dari aliran agama diperingkat IPT, namun aku amat bersyukur mempunyai ramai teman yang kudampingi dari kalangan mereka yang dikurniakan 'faqeh dan mempunyai ilmu dibidang agama'. Selagi persoalan yang aku dahagakan jawapannya,aku tidak berputus asa untuk mencarinya walau bersilih ganti. Kerana aku amat yakin,kebenaran Islam mampu menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh aqal manusia.

Fitri temanku menjawab bahawa 'menjadi tanggungjawab kepada setiap pendakwah untuk menyampaikan peringatan sebagaimana hadis Rasulullah "sampaikanlah walaupun satu ayat", namun dalam masa yang sama, mustahil untuk memastikan perkara yang kita telah laksanakan sahaja yang boleh kita sampaikan kerana tidak ada orang yang telah sempurna amalannya'. Ya, daripada kekurangan bekalan diri pendakwah itulah sepatutnya menjadi inspirasi untuk kita meningkatkan kualiti diri kita. Apa yang telah kita sampaikan , kita juga perlu berusaha untuk laksanakan. Di situlah peranan tarbiyyah diri da'ie tersebut. Tarbiyyah itu adalah merupakan satu proses untuk meningkatkan kualiti diri kita.

Namun, tarbiyyah mempunyai banyak cabangnya. Bukan sekadar ruhiyyah, namun juga thaqafah (kefahaman), jasmaniyyah/ jasadiyyah (fizikal) dan sebagainya. Apabila berlaku proses, sudah tentu input yang asalnya menjadi raw material akan menghasilkan output yang sama sekali berbeza daripada input yang dimasukkan pada mulanya. Jika input dan output adalah sama, bermakna tiada proses yang berlaku. Secara mudah untuk kita fahami, jika tiada peningkatan dalam kualiti diri seorang dai'e bermakna dia tidak menjalani proses tarbiyyah pada dirinya. Tarbiyyah bukan hanya perlu diprogramkan, tapi ia bermula dari kesedaran dalam diri. Jika diri kita ingin berusaha meningkatkan tarbiyyah,segala sumber disekeliling akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Justeru, untuk mendepani cabaran 'di uji dengan kata-kata sendiri' oleh dai'e, kita perlu bersedia menyediakan diri kita untuk ditarbiyyahkan. Memang sukar,namun hanya tarbiyyah yang mampu membantu kita berdiri teguh disaat manusia lainnya rebah.

Aku tahu,diriku ini amat rendah kualiti tarbiyyahku. Namun aku cuba agar tidak berterusan melayan rasa yang kurang enak ini. Tarbiyyah yang baik mampu melahirkan da'ie yang ikhlas, komited dan mempunyai kejelasan fikrah dan kefahaman yang jitu. Aku tidak pasti, apakah aku akan tumbang sebelum melepasi tapisan Allah, namun aku amat mengharapkan agar aku dapat terpilih hingga ke tapisan Allah yang terakhir. Semoga sahabat-sahabat semua thabat , kuatkan semangat dan tidak goyah dengan ujian Allah yang datang dari atas, bawah, kiri kanan , depan dan belakang ini.

No comments:

Post a Comment