Saturday, February 27, 2010

Doktor Juga Pendakwah??


Satu petang yang hening, ketika aku sibuk mengemaskan mejaku di pejabat, aku mendapat panggilan telefon daripada kakakku, "tau tak, abang masuk hospital? Dia ada di HTAR sekarang sorang sorang.". Aku terkejut kerana aku baru je beberapa hari lepas berjumpa dengannya. Dia datang ke Shah Alam dari Terengganu untuk mencari pekerjaan. Dengan berbekalkan kelulusan Ijazah Fiqh Wa Usul, Jami'ah Mu'tah Jordan dia cuba untuk mencari rezekinya di sini. Setelah beberapa kali aku menemaninya untuk mengikuti temuduga kerja, aku kembali memfokuskan tugasan harianku. Namun, panggilan itu bisa membuatkan aku rasa bersalah, seperti tidak bertanggungjawab aje aku tinggalkan dia keseorangan. Keadaan kakakku yang mengandung dan suaminya yang bekerja menyukarkan keadaan. Lalu, aku nekad untuk cuba sebaik mungkin berkhidmat untuk abangku.



Waktu itu sudah maghrib, aku baru tiba di hospital. Selesai solat di surau yang disediakan, Alhamdulillah, aku dibenarkan masuk walaupun di luar waktu melawat. Sampai sahaja, aku rasa kesian melihat tubuhnya yang agak kurus dan kulitnya yang pucat. Dia mempunyai masalah kekurangan darah. Ketika itu, dia sedang menunggu aku untuk membantunya untuk berwudhu'. Alhamdulillah, dia masih lagi bersemangat untuk melaksanakan solat wajib dan sunat di atas katil dengan tabung darah yang tersangkut di tepi katil. Kebanyakkan daripada pesakit di wad itu adalah berbangsa India. Aku tidak berhasrat untuk bermalam di situ kerana segan berada di wad lelaki. Aku tinggalkan beberapa keperluan untuk abangku. Esoknya aku datang semula ke hospital, membawa keperluan yang penting. Kesukaran untuk berwudhu' memerlukan aku untuk membekalkan spray air untuknya.



Alhamdulillah semasa aku masih lagi menuntut di IPT, aku ada mengikuti Bengkel Feqah Perubatan anjuran MESTA, (Medical Student Association) Fakulti Perubatan di kampusku. Bengkel 2 hari tersebut banyak membuka mindaku tentang "Mudahnya Islam". Banyaknya rukhsah atau keringanan yang dibenarkan dalam Islam bila berhadapan dengan situasi tertentu. Sebagai contoh, jika kita mengalami patah pada anggota tubuh dan perlu disimenkan , anggota yang tertutup simen tersebut boleh disapu dengan debu tayamum.



Namun, sedih juga melihatkan pesakit di hospital menjadikan alasan kesakitan mereka sebagai halangan untuk beribadat pada Allah. Sedangkan kita tahu bahawa sakit itu adalah ujian daripada Allah dan ujian ini adalah peluang yang sediakan pada kita untuk di ampunkan dosa, di naikkan darjat di sisi Allah dan juga Allah ingin mengurniakan pahala yang banyak jika kita bersabar menerimanya. Namun, alangkah malangnya jika ujian kesakitan itu menjadikan mereka lebih jauh dari Allah. Apatah lagi dengan keadaan sakit, lebih mengingatkan kita pada detik kematiaan. Dalam program tersebut, Dr yang membuat perbentangan itu membuka mata kepada para hadirin iaitu tugas seorang doktor bukan sekadar memeriksa tahap kesihatan, mencadangkan rawatan dan ubatan yang bersesuaian, namun doktor sangat berperanan penting untuk melaksanakan dakwah. Apatah lagi terhadap pesakit yang sedang di uji itu dan juga pesakit yang mempunyai risiko yang tinggi dalam berhadapan dengan detik kematian.



Alangkah baiknya jika seorang doktor muslim itu tidak hanya merasa cukup dengan sempurna kewajipan dirinya sebagai seorang muslim dari segi pakaian, amalan dan akhlaknya namun dia juga perlu melampiskan nikmat Islam ini kepada pesakit mereka. Apatah lagi, biasanya para doktor cukup dipandang tinggi oleh masyarakat. Apa sahaja yang keluar daripada mulut seorang doktor amat mudah untuk di percayai dan diyakini. Mungkin yang boleh dilakukan oleh seorang doktor adalah, jika berurusan dengan pesakit muslim, boleh ditanyakan kepada pesakit itu samada sudah mengerjakan solat ataupun belum . Disamping itu juga boleh menyuntik semangat para pesakit dengan kata kata yang menyejukkan hati agar mereka lebih berlapang dada menerima ujian Allah ini. Jika terkeluar daripada seorang doktor "pak cik sabar ye, Allah sedang uji pak cik. Setiap kesabaran pak cik dalam menanggung ujian ini Allah akan ganjarkan kebaikan dan pahala yang banyak pada pak cik . Allah uji pak cik kerana Allah sayangkan pak cik. Kerana dalam kesakitan itu, Allah sediakan pahala untuk pakcik, keampunan di atas dosa dosa dan juga mungkin allah uji pak cik agar pak cik berpeluang di naikkan darjat di sisi Allah" maka pesakit tersebut mungkin tidak begitu merasa tertekan dengan musibah yang melanda. Keluarga pesakit yang berhadapan dengan suasana tegang itu juga mungkin lebih tenang apabila mendengar suntikan kata kata penawar dari seorang doktor.



Aku pernah beberapa kali melawat dan menjaga sahabatku yang di tahan di wad hospital. Kebanyakkan pesakit non muslim akan memperhatikan perbuatan kami seperti sahabatku cuba untuk menjaga auratnya sepanjang terlantar di hospital, menjaga solatnya dan juga mempamerkan wajah yang tenang. Mereka hairan, apakah kekuatan yang ada pada seorang muslim yang tika di uji sebegitu namun masih boleh melakarkan wajah tenang dan sabar. Kata kata teman teman yang datang menziarahi menuturkan positif dan penuh hikmah membuatkan mereka asyik untuk mendengar. Biarlah mereka menilai dan memikirkan untuk mencari kebenaran.



Baru baru ini aku menziarahi jiranku meninggal. Mendiang berbangsa Hindu. Hasratku untuk menziarahi kerana memenuhi hak seorang jiran dan juga aku ingin menuruti sunnah yang telah dilakukan oleh Rasulullah. Aku melangkah masuk ke dalam rumah keluarga mendiang dan diminta untuk duduk berhampiran dengan keranda. Aku hanya memerhatikan, dalam aku meraikan hak dalam hidup berjiran aku terfikirkan "seharusnya mereka juga harus diberi hak untuk mendapat kefahaman Islam.". Ketika aku duduk di sisi saudara mara mendiang, mereka sangat gembira seorang muslimah sanggup masuk, bersalaman dan meraikan kesedihan mereka. Alhamdulillah, mereka mula mempunyai persepsi yang positif terhadap muslim. Cuma aku sedikit rasa gementar. Ramainya mereka yang masih belum nampak cahaya Islam. Aku hanya mendoakan agar Allah buka pintu hati mereka untuk mengenali Islam seterusnya mengimaninya.



Berbalik pada kisah doktor juga sebagai pendakwah. Tugasan mereka begitu mulia, melakukan amal kebajikan di samping berpeluang untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Walaupun bebanan tugasan mereka begitu berat, ingatlah wahai para doktor sekalian, semuanya tidak sia sia disisi Allah jika keikhlasan disertakan dalam pengorbana melaksanakan tugasan dan tanggungjawab tersebut.




Persiapan Bakal Doktor..



Terdapat banyak versi bakal doktor yang ada. Ada yang ikuti pengajian di Malaysia, tidak kurang juga di Timur Tengah dan juga Barat. Sesetengah mereka yang sedang megikuti pengajian dalam ilmu perubatan, mereka hanya sekadar ingin menguasai ilmu perubatan tersebut. Namun, bila berhadapan dengan realiti sebenar medan mereka, amatlah penting untuk bakal doktor ini untuk mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit.

Kesabaran dan kemahiran mereka untuk berkomunikasi dengan pesakit amatlah penting.



Namun, sebagai seorang doktor muslim, amatlah penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu asas feqah yang berkaitan dalam bidang perubatan. Terlalu banyak persoalan yang perlu dihadapi. Jika di timur tengah, terdapat banyak peluang kuliah tafaquh yang ada. Namun, bagaimanakah para bakal doktor ini boleh menyalurkan ilmu yang diperolahi itu supaya sesuai untuk diaplikasikan dalam lapangan perubatan? Inilah yang menjadi cabaran buat mereka. Tidak kurang juga mereka yang mengambil bidang perubatan di Malaysia dan juga di beberapa negara di sebelah Barat. Hari ini, group cirlce yang ada dikalangan para pelajar tidak menjadi asing lagi. manfaatkanlah ianya untuk menyuburkan kefahaman, mengasah kemahiran berfikir serta menyerlahkan potensi diri. Di situlah datangnya kekuatan bersama sama sahabat dan teman untuk memahami serta menghayati islam. Namun, hendaklah di seimbangkan antara keutamaan yang ada. InsyaAllah, akan lahirlah doktor muslim professional yang dinanti nantikan kehadirannya untuk sama menyuburkan usaha dakwah di tanah air kita.



Namun, dalam keghairahan untuk menyiapkan diri dengan 'nilai tambah' pada diri seorang doktor , janganlah dilupakan asasnya tanggungjawab dan amanah rakyat yang terpikul di bahu.InsyaAllah semoga Allah memudahkan urusan kalian. Semoga dapat mencapai kecemerlangan dalam akademik seiring dengan kecemerlangan siasah seorang muslim.

No comments:

Post a Comment