Friday, February 26, 2010

Harga Sebuah Perkahwinan..


Perkahwinan itu sebuah ikatan


Dalam Islam, terdapat dua jenis ikatan yang ada iaitu ikatan zahir dan ikatan batin. Ikatan zahir yang boleh kita nampak seperti ikatan tali pada kapal layar manakala ikatan batin adalah ikatan yang tidak nampak namun dirasai kewujudannya seperti ikatan perkahwinan. Namun, antara dua ikatan tersebut, ikatan batin lebih sukar dijaga kerana jika tersilap sedikit, padah seumur hidup. 3 perkara yang tidak boleh di buat main main iaitu Akad Nikah, Murtad dan Cerai..Maka, sama samalah kita berhati hati.


Sebenarnya apa tujuan sebenar kita ingin berumahtangga ye? Ada yang berkahwin kerana nafsu, ada yang berkahwin kerana rasa tak sempurna hidup kalau tak kahwin . Tidak kurang juga berkahwin kerana mak ayah dah bising sebab dah besar panjang tapi masih di bawah ketiak mereka. Ada juga kes berkahwin semata mata untuk menghalalkan hubungan intim berlainan jantina. Tapi tidak mustahil, dalam ramai ramai pasangan yang berkahwin, ada yang berkahwin kerana ingin mengikuti sunnah Rasulullah, menjaga iman dan juga kerana ingin membentuk keluarga yang solehah dan diberkati.


Aku telah jatuh hati pada Shah Alam kerana suasana di sini amat menyeronokkan, masjid dan surau dijadikan sebagaian aktiviti sekeluarga untuk meluangkan masa bersama sama. Hidupnya kuliah kuliah ilmu seiring dengan hidupnya suasana kekeluargaan yang harmoni. Lihat sahaja di bulan ramadhan di Masjid Negeri, suasana yang menenangkan dan indah. Mereka walaupun berkemampuan untuk berbuka puasa di restoran mahal, namun kebanyakkan keluarga di sini memilih untuk berbuka di masjid dan surau bersama keluarga dalam suasana harmoni. Indahnya memiliki keluarga yang solehah dan bahagia, detik hati kecilku. Jika sebelum ini, kita mungkin dilahirkan dalam susana keluarga yang sederhana penekanan terhadap Islam, kita harus berazam untuk membawa keluarga yang sedia ada sekarang ke arah pengislahan dan juga kita harus berusaha untuk cuba membina keluarga yang solehah bermula daripada mencari pasangan hidup lagi. Cantiknya Islam, begitu lengkap di ajar kepada kita panduan kehidupan. Namun, tidak cukup dengan sekadar kita yang mendambakan untuk mendapat pasangan seperti Rasulullah, tapi kita juga harus berusaha ingin menjadi seperti Siti Khadijah. Tidak cukup hanya mengimpikan untuk mendapat suami seperti Saidina Ali jika kita tidak berusaha untuk menjadi seperti Siti Fatimah. Berusahalah bersama sama untuk memperbaiki diri kemudian berusahalah untuk mendapat pasangan hidup yang baik dengan cara yang baik pula dengan matlamat untuk membentuk keluarga yang solehah.


Apa yang ingin aku kupas di sini adalah untuk berkongsi sedikit pandangan terhadap isu baru baru ini yang berlaku. Isu tentang pelajar pelajar IPT mengadakan majlis akad nikah sendiri dan hanya menggunakan rakan rakan mereka sendiri sebagai wali, juru nikah, saksi untuk menikahkan pasangan mereka. Yang pertama, dari sudut hukum semestinya tertolak kerana begitu mudah mereka menjadikan rakan mereka sebagai wali sedangkan kita tahu senarai wali yang perlu diutamakan. Daripada senarai tersebut, tidak meletakkan kawan lelaki boleh menjadi wali, tapi daripada keluarga yang terdekat sendiri.Jika difikirkan, mengapa mereka tegar berbuat begitu? Mungkin mereka ingin membersihkan imej mahasiswa harini yang tercalar dengan maruah dan nilai moral dalam diri mereka. Masakan tidak, seperti menjadi satu kemestian untuk setiap mahasiswa untuk memiliki pasangan semasa sedang mengikuti pengajian. Mungkin faktor pengaruh media elektronik, drama dan filem yang sering menayangkan asyiknya dunia percintaan serta lagu yang melalaikan. Jadi, mereka cenderung untuk bercouple. tapi mungkin ada yang sedar bahawa, bercouple itu tak elok kerana menyuburkan hubungan dengan cara maksiat. Jadi, sebab itu terdapat segelintir yang mengambil keputusan berkahwin seperti itu untuk menghalalkan perhubungan mereka. Dalam Islam, matlamat tidak mengahalalkan cara. Walaupun niatnya bagus supaya tak melakukan maksiat, namun caranya tidak menepati syara'.


Ada jugak berlaku kes pelajar pelajar yang berkahwin secara senyap tanpa pengetahuan ibubapa, sama ada pelajar dalam negara mahupun luar negara. Jika kita lihat, besar implikasinya mendirikan rumahtangga tanpa pengetahuan keluarga. Itulah hikmah mengapa diletakkan perlu adanya wali dalam Islam. Biarlah rumahtangga yang terbina itu barakah dan diterima baik oleh masyarakat sekeliling. Aku tidak bermaksud untuk menyatakan hukum terhadap perbuatan tersebut kerana aku bukanlah Qadhi yang faqeh. Aku hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman rakan kepada teman temanku yang berhadapan dengan situasi ini. kehidupan mereka lebih sulit kerana selagi mana mereka cuba untuk merahsiakan perkahwinan mereka itu, selagi itu hidup dalam kewasapadaan.


Bagaimana dengan pandangan "daripada berterusan melakukan maksiat semasa bercinta, lebih baik kita kahwin aje". Pendapat tersebut, walaupun kurang menepati intipati perkahwinan yang sebenar, namun ia boleh di terima. Cuma, adalah lebih baik untuk berfikir menyiapkan diri untuk menerima tanggungjawab sebagai suami / isteri suatu hari nanti daripada sekadar berfikir mencari cara yang boleh menghalalkan perhubungan mereka. Jika tidak, rumahtangga yang dikecapi mungkin kurang bahagia. Masakan tidak, rumahtangga tidak hanya perlukan cinta untuk hidup tapi perlu pasangan tersebut saling melengkapi dan melaksanakan peranan masing masing sebaiknya. Walau sedalam mana pun cinta suami pada isteri namun jika si isteri tidak mampu melaksanakan tugasan sebagai seorang isteri, rumahtangga itu mungkin boleh di landa masalah. Bayangkan, mereka akan bersama dengan pasangan untuk seumur hidup. Jika seumur hidup terpaksa berhadapan dengan karenah suami / isteri yang tidak memahami peranan dan tanggungjawab masing masing, maka sukarlah keadaan mereka untuk mengecapi kebahagiaan.


Perkahwinan perlulah seiring menepati sunnatullah dan syariatullah. Sunnatullah iaitu fitrah dalam diri setiap makhluk untuk menyayangi dan rasa di sayangi. Rumahtangga yang terbina tanpa dusuburkan rasa kasih dan sayang, walaupun mengikut syariatullah tapi tetap dirasakan hambar. Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah sebagai contoh suami terbaik. Baginda amat mengasihi dan menghargai isteri isteri baginda. Baginda melayan isteri dalam suasana kasih sayang, bukan sekadar memenuhi syarat perkahwinan semata mata.


Begitu juga dengan perkahwinan yang meraikan sunnatullah namun tidak menepati syariatullah. Ramai dikalangan kita yang mengimpikan untuk memiliki keluarga yang bahagia, soleh dan anak anak yang baik. Namun, dalam proses untuk mendirikan rumahtangga itu jika begitu banyak perkara perkara yang tidak di jaga seperti keluar berdua duan, melakukan maksiat tangan, mata, hati, mana bisa rumahtangga yang dididikan itu akan mendapat barakah? Andaikan kita ingin menanam pokok untuk mendapatkan buah yang manis dan sedap di makan, namun kita letakkan baja racun dan pahit. Begitulah dengan perkahwinan, jika baja maksiat kita dah suburkan dalam perhubungan sebelum perkahwinan agak mustahil untuk mendapat hasil buah yang baik iaitu anak soleh solehah penyejuk mata.


Aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menulis hal ini, namun kurasakan di sekelilingku banyak perkara yang disalah tafsir oleh masyarakat yang memerlukan aku bersuara agar dilihat kembali pandanganku ini kita dapat kembali ke landasan yang sebenar.

No comments:

Post a Comment