Saturday, February 27, 2010

Doktor Juga Pendakwah??


Satu petang yang hening, ketika aku sibuk mengemaskan mejaku di pejabat, aku mendapat panggilan telefon daripada kakakku, "tau tak, abang masuk hospital? Dia ada di HTAR sekarang sorang sorang.". Aku terkejut kerana aku baru je beberapa hari lepas berjumpa dengannya. Dia datang ke Shah Alam dari Terengganu untuk mencari pekerjaan. Dengan berbekalkan kelulusan Ijazah Fiqh Wa Usul, Jami'ah Mu'tah Jordan dia cuba untuk mencari rezekinya di sini. Setelah beberapa kali aku menemaninya untuk mengikuti temuduga kerja, aku kembali memfokuskan tugasan harianku. Namun, panggilan itu bisa membuatkan aku rasa bersalah, seperti tidak bertanggungjawab aje aku tinggalkan dia keseorangan. Keadaan kakakku yang mengandung dan suaminya yang bekerja menyukarkan keadaan. Lalu, aku nekad untuk cuba sebaik mungkin berkhidmat untuk abangku.



Waktu itu sudah maghrib, aku baru tiba di hospital. Selesai solat di surau yang disediakan, Alhamdulillah, aku dibenarkan masuk walaupun di luar waktu melawat. Sampai sahaja, aku rasa kesian melihat tubuhnya yang agak kurus dan kulitnya yang pucat. Dia mempunyai masalah kekurangan darah. Ketika itu, dia sedang menunggu aku untuk membantunya untuk berwudhu'. Alhamdulillah, dia masih lagi bersemangat untuk melaksanakan solat wajib dan sunat di atas katil dengan tabung darah yang tersangkut di tepi katil. Kebanyakkan daripada pesakit di wad itu adalah berbangsa India. Aku tidak berhasrat untuk bermalam di situ kerana segan berada di wad lelaki. Aku tinggalkan beberapa keperluan untuk abangku. Esoknya aku datang semula ke hospital, membawa keperluan yang penting. Kesukaran untuk berwudhu' memerlukan aku untuk membekalkan spray air untuknya.



Alhamdulillah semasa aku masih lagi menuntut di IPT, aku ada mengikuti Bengkel Feqah Perubatan anjuran MESTA, (Medical Student Association) Fakulti Perubatan di kampusku. Bengkel 2 hari tersebut banyak membuka mindaku tentang "Mudahnya Islam". Banyaknya rukhsah atau keringanan yang dibenarkan dalam Islam bila berhadapan dengan situasi tertentu. Sebagai contoh, jika kita mengalami patah pada anggota tubuh dan perlu disimenkan , anggota yang tertutup simen tersebut boleh disapu dengan debu tayamum.



Namun, sedih juga melihatkan pesakit di hospital menjadikan alasan kesakitan mereka sebagai halangan untuk beribadat pada Allah. Sedangkan kita tahu bahawa sakit itu adalah ujian daripada Allah dan ujian ini adalah peluang yang sediakan pada kita untuk di ampunkan dosa, di naikkan darjat di sisi Allah dan juga Allah ingin mengurniakan pahala yang banyak jika kita bersabar menerimanya. Namun, alangkah malangnya jika ujian kesakitan itu menjadikan mereka lebih jauh dari Allah. Apatah lagi dengan keadaan sakit, lebih mengingatkan kita pada detik kematiaan. Dalam program tersebut, Dr yang membuat perbentangan itu membuka mata kepada para hadirin iaitu tugas seorang doktor bukan sekadar memeriksa tahap kesihatan, mencadangkan rawatan dan ubatan yang bersesuaian, namun doktor sangat berperanan penting untuk melaksanakan dakwah. Apatah lagi terhadap pesakit yang sedang di uji itu dan juga pesakit yang mempunyai risiko yang tinggi dalam berhadapan dengan detik kematian.



Alangkah baiknya jika seorang doktor muslim itu tidak hanya merasa cukup dengan sempurna kewajipan dirinya sebagai seorang muslim dari segi pakaian, amalan dan akhlaknya namun dia juga perlu melampiskan nikmat Islam ini kepada pesakit mereka. Apatah lagi, biasanya para doktor cukup dipandang tinggi oleh masyarakat. Apa sahaja yang keluar daripada mulut seorang doktor amat mudah untuk di percayai dan diyakini. Mungkin yang boleh dilakukan oleh seorang doktor adalah, jika berurusan dengan pesakit muslim, boleh ditanyakan kepada pesakit itu samada sudah mengerjakan solat ataupun belum . Disamping itu juga boleh menyuntik semangat para pesakit dengan kata kata yang menyejukkan hati agar mereka lebih berlapang dada menerima ujian Allah ini. Jika terkeluar daripada seorang doktor "pak cik sabar ye, Allah sedang uji pak cik. Setiap kesabaran pak cik dalam menanggung ujian ini Allah akan ganjarkan kebaikan dan pahala yang banyak pada pak cik . Allah uji pak cik kerana Allah sayangkan pak cik. Kerana dalam kesakitan itu, Allah sediakan pahala untuk pakcik, keampunan di atas dosa dosa dan juga mungkin allah uji pak cik agar pak cik berpeluang di naikkan darjat di sisi Allah" maka pesakit tersebut mungkin tidak begitu merasa tertekan dengan musibah yang melanda. Keluarga pesakit yang berhadapan dengan suasana tegang itu juga mungkin lebih tenang apabila mendengar suntikan kata kata penawar dari seorang doktor.



Aku pernah beberapa kali melawat dan menjaga sahabatku yang di tahan di wad hospital. Kebanyakkan pesakit non muslim akan memperhatikan perbuatan kami seperti sahabatku cuba untuk menjaga auratnya sepanjang terlantar di hospital, menjaga solatnya dan juga mempamerkan wajah yang tenang. Mereka hairan, apakah kekuatan yang ada pada seorang muslim yang tika di uji sebegitu namun masih boleh melakarkan wajah tenang dan sabar. Kata kata teman teman yang datang menziarahi menuturkan positif dan penuh hikmah membuatkan mereka asyik untuk mendengar. Biarlah mereka menilai dan memikirkan untuk mencari kebenaran.



Baru baru ini aku menziarahi jiranku meninggal. Mendiang berbangsa Hindu. Hasratku untuk menziarahi kerana memenuhi hak seorang jiran dan juga aku ingin menuruti sunnah yang telah dilakukan oleh Rasulullah. Aku melangkah masuk ke dalam rumah keluarga mendiang dan diminta untuk duduk berhampiran dengan keranda. Aku hanya memerhatikan, dalam aku meraikan hak dalam hidup berjiran aku terfikirkan "seharusnya mereka juga harus diberi hak untuk mendapat kefahaman Islam.". Ketika aku duduk di sisi saudara mara mendiang, mereka sangat gembira seorang muslimah sanggup masuk, bersalaman dan meraikan kesedihan mereka. Alhamdulillah, mereka mula mempunyai persepsi yang positif terhadap muslim. Cuma aku sedikit rasa gementar. Ramainya mereka yang masih belum nampak cahaya Islam. Aku hanya mendoakan agar Allah buka pintu hati mereka untuk mengenali Islam seterusnya mengimaninya.



Berbalik pada kisah doktor juga sebagai pendakwah. Tugasan mereka begitu mulia, melakukan amal kebajikan di samping berpeluang untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Walaupun bebanan tugasan mereka begitu berat, ingatlah wahai para doktor sekalian, semuanya tidak sia sia disisi Allah jika keikhlasan disertakan dalam pengorbana melaksanakan tugasan dan tanggungjawab tersebut.




Persiapan Bakal Doktor..



Terdapat banyak versi bakal doktor yang ada. Ada yang ikuti pengajian di Malaysia, tidak kurang juga di Timur Tengah dan juga Barat. Sesetengah mereka yang sedang megikuti pengajian dalam ilmu perubatan, mereka hanya sekadar ingin menguasai ilmu perubatan tersebut. Namun, bila berhadapan dengan realiti sebenar medan mereka, amatlah penting untuk bakal doktor ini untuk mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit.

Kesabaran dan kemahiran mereka untuk berkomunikasi dengan pesakit amatlah penting.



Namun, sebagai seorang doktor muslim, amatlah penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu asas feqah yang berkaitan dalam bidang perubatan. Terlalu banyak persoalan yang perlu dihadapi. Jika di timur tengah, terdapat banyak peluang kuliah tafaquh yang ada. Namun, bagaimanakah para bakal doktor ini boleh menyalurkan ilmu yang diperolahi itu supaya sesuai untuk diaplikasikan dalam lapangan perubatan? Inilah yang menjadi cabaran buat mereka. Tidak kurang juga mereka yang mengambil bidang perubatan di Malaysia dan juga di beberapa negara di sebelah Barat. Hari ini, group cirlce yang ada dikalangan para pelajar tidak menjadi asing lagi. manfaatkanlah ianya untuk menyuburkan kefahaman, mengasah kemahiran berfikir serta menyerlahkan potensi diri. Di situlah datangnya kekuatan bersama sama sahabat dan teman untuk memahami serta menghayati islam. Namun, hendaklah di seimbangkan antara keutamaan yang ada. InsyaAllah, akan lahirlah doktor muslim professional yang dinanti nantikan kehadirannya untuk sama menyuburkan usaha dakwah di tanah air kita.



Namun, dalam keghairahan untuk menyiapkan diri dengan 'nilai tambah' pada diri seorang doktor , janganlah dilupakan asasnya tanggungjawab dan amanah rakyat yang terpikul di bahu.InsyaAllah semoga Allah memudahkan urusan kalian. Semoga dapat mencapai kecemerlangan dalam akademik seiring dengan kecemerlangan siasah seorang muslim.

Friday, February 26, 2010

Harga Sebuah Perkahwinan..


Perkahwinan itu sebuah ikatan


Dalam Islam, terdapat dua jenis ikatan yang ada iaitu ikatan zahir dan ikatan batin. Ikatan zahir yang boleh kita nampak seperti ikatan tali pada kapal layar manakala ikatan batin adalah ikatan yang tidak nampak namun dirasai kewujudannya seperti ikatan perkahwinan. Namun, antara dua ikatan tersebut, ikatan batin lebih sukar dijaga kerana jika tersilap sedikit, padah seumur hidup. 3 perkara yang tidak boleh di buat main main iaitu Akad Nikah, Murtad dan Cerai..Maka, sama samalah kita berhati hati.


Sebenarnya apa tujuan sebenar kita ingin berumahtangga ye? Ada yang berkahwin kerana nafsu, ada yang berkahwin kerana rasa tak sempurna hidup kalau tak kahwin . Tidak kurang juga berkahwin kerana mak ayah dah bising sebab dah besar panjang tapi masih di bawah ketiak mereka. Ada juga kes berkahwin semata mata untuk menghalalkan hubungan intim berlainan jantina. Tapi tidak mustahil, dalam ramai ramai pasangan yang berkahwin, ada yang berkahwin kerana ingin mengikuti sunnah Rasulullah, menjaga iman dan juga kerana ingin membentuk keluarga yang solehah dan diberkati.


Aku telah jatuh hati pada Shah Alam kerana suasana di sini amat menyeronokkan, masjid dan surau dijadikan sebagaian aktiviti sekeluarga untuk meluangkan masa bersama sama. Hidupnya kuliah kuliah ilmu seiring dengan hidupnya suasana kekeluargaan yang harmoni. Lihat sahaja di bulan ramadhan di Masjid Negeri, suasana yang menenangkan dan indah. Mereka walaupun berkemampuan untuk berbuka puasa di restoran mahal, namun kebanyakkan keluarga di sini memilih untuk berbuka di masjid dan surau bersama keluarga dalam suasana harmoni. Indahnya memiliki keluarga yang solehah dan bahagia, detik hati kecilku. Jika sebelum ini, kita mungkin dilahirkan dalam susana keluarga yang sederhana penekanan terhadap Islam, kita harus berazam untuk membawa keluarga yang sedia ada sekarang ke arah pengislahan dan juga kita harus berusaha untuk cuba membina keluarga yang solehah bermula daripada mencari pasangan hidup lagi. Cantiknya Islam, begitu lengkap di ajar kepada kita panduan kehidupan. Namun, tidak cukup dengan sekadar kita yang mendambakan untuk mendapat pasangan seperti Rasulullah, tapi kita juga harus berusaha ingin menjadi seperti Siti Khadijah. Tidak cukup hanya mengimpikan untuk mendapat suami seperti Saidina Ali jika kita tidak berusaha untuk menjadi seperti Siti Fatimah. Berusahalah bersama sama untuk memperbaiki diri kemudian berusahalah untuk mendapat pasangan hidup yang baik dengan cara yang baik pula dengan matlamat untuk membentuk keluarga yang solehah.


Apa yang ingin aku kupas di sini adalah untuk berkongsi sedikit pandangan terhadap isu baru baru ini yang berlaku. Isu tentang pelajar pelajar IPT mengadakan majlis akad nikah sendiri dan hanya menggunakan rakan rakan mereka sendiri sebagai wali, juru nikah, saksi untuk menikahkan pasangan mereka. Yang pertama, dari sudut hukum semestinya tertolak kerana begitu mudah mereka menjadikan rakan mereka sebagai wali sedangkan kita tahu senarai wali yang perlu diutamakan. Daripada senarai tersebut, tidak meletakkan kawan lelaki boleh menjadi wali, tapi daripada keluarga yang terdekat sendiri.Jika difikirkan, mengapa mereka tegar berbuat begitu? Mungkin mereka ingin membersihkan imej mahasiswa harini yang tercalar dengan maruah dan nilai moral dalam diri mereka. Masakan tidak, seperti menjadi satu kemestian untuk setiap mahasiswa untuk memiliki pasangan semasa sedang mengikuti pengajian. Mungkin faktor pengaruh media elektronik, drama dan filem yang sering menayangkan asyiknya dunia percintaan serta lagu yang melalaikan. Jadi, mereka cenderung untuk bercouple. tapi mungkin ada yang sedar bahawa, bercouple itu tak elok kerana menyuburkan hubungan dengan cara maksiat. Jadi, sebab itu terdapat segelintir yang mengambil keputusan berkahwin seperti itu untuk menghalalkan perhubungan mereka. Dalam Islam, matlamat tidak mengahalalkan cara. Walaupun niatnya bagus supaya tak melakukan maksiat, namun caranya tidak menepati syara'.


Ada jugak berlaku kes pelajar pelajar yang berkahwin secara senyap tanpa pengetahuan ibubapa, sama ada pelajar dalam negara mahupun luar negara. Jika kita lihat, besar implikasinya mendirikan rumahtangga tanpa pengetahuan keluarga. Itulah hikmah mengapa diletakkan perlu adanya wali dalam Islam. Biarlah rumahtangga yang terbina itu barakah dan diterima baik oleh masyarakat sekeliling. Aku tidak bermaksud untuk menyatakan hukum terhadap perbuatan tersebut kerana aku bukanlah Qadhi yang faqeh. Aku hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman rakan kepada teman temanku yang berhadapan dengan situasi ini. kehidupan mereka lebih sulit kerana selagi mana mereka cuba untuk merahsiakan perkahwinan mereka itu, selagi itu hidup dalam kewasapadaan.


Bagaimana dengan pandangan "daripada berterusan melakukan maksiat semasa bercinta, lebih baik kita kahwin aje". Pendapat tersebut, walaupun kurang menepati intipati perkahwinan yang sebenar, namun ia boleh di terima. Cuma, adalah lebih baik untuk berfikir menyiapkan diri untuk menerima tanggungjawab sebagai suami / isteri suatu hari nanti daripada sekadar berfikir mencari cara yang boleh menghalalkan perhubungan mereka. Jika tidak, rumahtangga yang dikecapi mungkin kurang bahagia. Masakan tidak, rumahtangga tidak hanya perlukan cinta untuk hidup tapi perlu pasangan tersebut saling melengkapi dan melaksanakan peranan masing masing sebaiknya. Walau sedalam mana pun cinta suami pada isteri namun jika si isteri tidak mampu melaksanakan tugasan sebagai seorang isteri, rumahtangga itu mungkin boleh di landa masalah. Bayangkan, mereka akan bersama dengan pasangan untuk seumur hidup. Jika seumur hidup terpaksa berhadapan dengan karenah suami / isteri yang tidak memahami peranan dan tanggungjawab masing masing, maka sukarlah keadaan mereka untuk mengecapi kebahagiaan.


Perkahwinan perlulah seiring menepati sunnatullah dan syariatullah. Sunnatullah iaitu fitrah dalam diri setiap makhluk untuk menyayangi dan rasa di sayangi. Rumahtangga yang terbina tanpa dusuburkan rasa kasih dan sayang, walaupun mengikut syariatullah tapi tetap dirasakan hambar. Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah sebagai contoh suami terbaik. Baginda amat mengasihi dan menghargai isteri isteri baginda. Baginda melayan isteri dalam suasana kasih sayang, bukan sekadar memenuhi syarat perkahwinan semata mata.


Begitu juga dengan perkahwinan yang meraikan sunnatullah namun tidak menepati syariatullah. Ramai dikalangan kita yang mengimpikan untuk memiliki keluarga yang bahagia, soleh dan anak anak yang baik. Namun, dalam proses untuk mendirikan rumahtangga itu jika begitu banyak perkara perkara yang tidak di jaga seperti keluar berdua duan, melakukan maksiat tangan, mata, hati, mana bisa rumahtangga yang dididikan itu akan mendapat barakah? Andaikan kita ingin menanam pokok untuk mendapatkan buah yang manis dan sedap di makan, namun kita letakkan baja racun dan pahit. Begitulah dengan perkahwinan, jika baja maksiat kita dah suburkan dalam perhubungan sebelum perkahwinan agak mustahil untuk mendapat hasil buah yang baik iaitu anak soleh solehah penyejuk mata.


Aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menulis hal ini, namun kurasakan di sekelilingku banyak perkara yang disalah tafsir oleh masyarakat yang memerlukan aku bersuara agar dilihat kembali pandanganku ini kita dapat kembali ke landasan yang sebenar.

Realiti dakwah di Malaysia

Realiti Dakwah Di Malysia

Assalamu'alaikum. Maaf buat teman teman yang menantikan artikel terbaru dalam blog ini. Otakku sarat dengan maklumat namun belum cukup kekuatan untuk di lakarkan dalam pena. Semalam aku mengikuti sebuah kuliah, seorang ustaz yang merupakan murid kepada Prof Dr Yusof al Qardhawi. Ustaz itu menceritakan, dalam satu pertemuannya dengan Prof Dr Yosof Al Qardhawi bersama sahabat sahabat seperjuangannya di Malaysia baru baru ini, mereka di pertontonkan jari Sheikh itu yang terdapat lekuk sedikit. Lalu Sheikh bertanya kepada sahabat dalam pertemuan itu, "kenapa agaknya jari ini menjadi begini?" Semuanya terdiam. No idea. "Inilah jari yang sentiasa memegang pena untuk menulis risalah dakwah".. Bayangkan dalam usia yang begitu masih mampu beliau untuk konsisten menulis risalah kebenaran. Jika di himpunkan, mungkin bukunya telah mencapai ratusan yang telah di hasilkan manakala kertas kerja pula mungkin telah mencecah ribuan. Aku pernah mengikuti kuliahnya secara langsung semasa kunjungannyakeMalaysia Awal Muharam yang lalu. Kulihat, dalam syarahannya yang bertajuk FIQHUL JIHAD, walaupun rasanya masa yang diperuntukkan tidaklah banyak, namun beliau mampu menyampaikan dengan padat, kemas dan bermakna. Sebagai mukaddimah, aku malu pada beliau yang masih aktif menulis dan menyampaikan kebenaran walaupun usianya yang semakin lanjut, namun beliau mengumpulkan segala kekuatan untuk menggunakan dan memanfaatkan segala ruang yang ada untuk berpena dan menyampaikan risalah kebenaran Islam. He he, aku yang masih muda remaja pun tidak mampu walaupun hanya sekadar update blog.

Aku tertarik dengan pandangan Ust Hasrizal Saiful Islam baru baru ini dalam beberapa programnya yang aku ikuti baru baru ini iaitu beliau selama 8 tahun berada di bumi Jordan kemudian ke UK dan bertugas sebagai Imam di sana dengan pelbagai pengalaman yang mengkayakan nilai diri beliau sebagai hamba Allah, beliau dapat menerima dengan tenang akan segala kesulitan dan suasana dakwah serta cabarannya di sana. Namun, beliau terkena Cultural Shock apabila tiba di Malaysia. Pelbagai kes pelik yang di luar logik aqal dan kewarasan seorang manusia. Masakan tidak, banyak kes rogol dan bunuh yang pelik berlaku. Jika kita masih ingat seorang gadis Allahyarhamah Nur Suzaily yang matinya di bakar serta di letakkan di dalam tong najis. Tidak lupa juga kes menyayat hati yang masih lagi belum ada khabar terhadap penjenayahnya sampai hari ini iaitu allahyarhamah adik Nurin Jazilin yang kematiannya amat tragis. Kematiannya dipercayai kerana jangkitan kuman pada kemaluannya yang telah pecah kerana telah di masukkan terung dan timun batang hingga ke paras ususnya. Tidak lupa juga kes seorang ibu yang tidak bertanggungjawab telah meletakkan anak luar nikahnya yang telah dilahirkan lalu dicampakkan dari tingkat 9 sebuah bangunan.

Kalau lah di fikirkan sedalamnya, Ya Allah besarnya cabaran mendidik masyarakat hari ini. Dalam kegawatan moran dan akhlak yang meruncing, semua pihak kena bersatu hati dan berusaha untuk menanganinya. Pelajar pelajar sekolah hari ini semakin kurang beradab terhadap guru. Seorang temanku, pelajar Fakulti Pendidikan menceritakan bagaimana pengalamannya semasa praktikal menjadi guru Biologi pada tahun lepas. Memang menyedihkan, pelajar pelajar sudah berani mengherdik dan merendah rendahkan guru mereka. Mereka meresa hebat dengan kelebihan tuisyen di rumah mereka secara personnal. Hmm, jika hanya kejayaan zahir yang diharapakan, apalah maknanya kejayaan itu. Semuanya bagiku tiada nilainya jika berjaya tapi tidak berakhlak. Bersabarlah wahai guru guru sekalian. Jika niat kita ikhlas mendidik insyaAllah walaupun hari ini penuh kepayahan namun berkat kesabaran dan keikhlasan itu Allah akan berikan banyak barakah pada seorang guru. Guru hanya bukan untuk menyampaikan apa yang ada dalam silibus, namun tugasnya juga adalah untuk mendidik. Namun,suasana masyarakat hari ini menyukarkan guru untuk mendidik pelajar mereka. Jika tersilap langkah, mungkin akan di saman oleh pihak ibubapa.

Sebenarnya nilai moral yang pincang hari ini sukar untuk kita pulihkan sepenuhnya. Walaupun kesedaran dakwah makin subur, namun ianya tidak dapat memperbaiki secara keseluruhan kerana walaupun pembaikan yang dilakukan oleh banyak pihak kerana kita masih berlegar pada sistem kehidupan dan dasar yang tidak mengikut acuan Allah. Jika di ibaratkan kotoran di hulu sungai kerana terdapat bangkai gajah, namun kita cuci di hilir sungai dengan pelbagai usaha. Selagi bangkai itu tidak di buang, tidak akan memeberi erti walau sedozen minyak wangi kita taburkan di hilir sungai. Begitu jugalah dengan negara kita. Terlalu banyak pertubuhan Islam yang bergerak untuk melaksanakan dakwah dengan pelbagai pendekatan. Namun ,jika tiada usaha untuk merubah sistem agar sepenuhnya kembali mengamalkan apa yang terkandung dalam Islam secara total maka agar sukar untuk mengubah keadaan masyarakat hari ini.

Jika kita lihat 7 peringkat yang terkandung dalam risalah Ta'alim , kurasakan apa yang di utarakan itu insyaAllah adalah yang terbaik untuk mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi ini. Berikut merupakan terjemahan yang dipermudahkan huraiannya untuk difahami.
1) Memperbaiki diri untuk menjadi mukmin yang sejati
2) Membentuk keluarga Muslim
3) Membimbing masyarakat untuk menghayati dan mengamalkan Islam
4) Membebaskan negara daripada sistem ciptaan manusia kepada sistem Islam
5 ) Melakukan pembaikan dalam kerajaan hingga benar benar melaksanakan Islam
6 ) Mengembalikan khilafah Islam yang pernah dikecapi suati waktu dulu
7) Kepimpinan Islam bersifat seluruh alam, menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia

Amat cantik susunan yang telah di buat. InsyaAllah apa yang telah di janjikan Allah dalam surah An Nuur akan berlaku suatu hari nanti iaitu Allah akan mengembalikan kekuasaan Islam di muka bumi ini.

Wednesday, January 20, 2010

Membumikan Dakwah Ke Medan Realiti

Membumikan Dakwah ?
Bagaimanakah yang dikatakan membumikan dakwah? Erm.. Berdakwah itu merupakan satu tuntutan yang perlu dipenuhi oleh mereka yang mukallaf dan memahami akan hakikat kewajipan berdakwah. Kalu kita lihat di pasaran (eh, ye ker?) terdapat pelbagai jenis produk da'ie yang dihasilkan, sama ada mengikut acuan diri sendiri mahupun di susun oleh sistem dalam organisasi yang di ikuti.
Sebelum itu mari kita kenal dulu, kategori da'ie yang ada di pasaran hari ini.. iaitu
i) orang-orang yang berdakwah dengan kesedaran..
ii) orang-orang yang menyampaikan ajara Islam kerana inginkan kepada imbuhan.
Daripada kategori inilah menyebabkan cenderungnya untuk seseorang itu menjadi pendakwah yang baik dan sebaliknya. Kategori pertama iaitu orang-orang yang berdakwah kerana kesedaran, mereka akan cuba menyampaikan risalah kebenaran ini walaupun mungkin mereka bukanlah asalnya daripada latarbelakang pendidikan agama yang formal yang boleh didapati di universiti. Kesedaran mereka ini dipupuk hasil daripada pembentukkan tarbiyyah yang berterusan yan diperolehi daripada usrah yang konsisten. Maka, persoalan samada mempunyai latarbelakang pendidikan agama atau tidak, bukanlah kayu ukur kelayakan mereka untuk menyampaikan dakwah. Mereka mungkin terdiri daripada golongan professional, namun tidak mustahil mereka juga boleh terdiri daripada orang-orang yang tidak berpendidikan tinggi, namun ikhlas dalam beragama. Pernah kulihat seorang makcik yang telah pun tua, jalannya tidak lagi cergas seperti orang-orang muda sepertiku, namun semangat dakwah dalam dirinya terpancar pada riak wajahnya yang tidak letih menyeru manusia ke jalan Allah. Dia tidak berpendidikan tinggi, tinggal di kawasan pedalaman. Namun, semangatnya itu mengalahkan orang yang masih muda. Subhanallah, aku malu padanya. Baru sedikit langkah dakwahku, kadang-kadang ku merasa sedikit penat dengan pelbagai ujian dan masalah yang datang serentak dengan tanggungjawab yang kian bertambah.
Kategori yang kedua iaitu orang-orang yang menyampaikan seruan agama kerana imbuhan adalah mereka yang mungkin belajar dalam pengajian agama kerana banyak peluang pekerjaan yang terbuka untuk golongan tersebut. Sekiranya apa yang mereka niatkan itu berbentuk habuan keduniaan, nescaya percayalah bahawa dunia ini akan mengongkong lidahnya daripada bertutur tentang kebenaran. Kerana apa, sekiranya perkara yang ingin di tegur itu boleh menggugat sesetangah pihak, da'i tersebut mungkin akan berdepan risiko diberhentikan. Maka, terpaksalah mereka berdiam diri dalam redha dengan kebatilan tersebut. Dalam satu hadith disebut bahawa "Barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan mencukupkannya daripada pergantungan terhadap manusia, namun barangsiapa yang mencari redha manusia dengan murkanya Allah, maka allah akan melepaskannya pada manusia". Golongan inilah yang dinamakan Ulamak Bisu,hilang taringnya kerana harta, pangkat dan kedudukan walaupun ilmunya seluas lautan yang tak bertepi namun seperti tiada beerti. Berbicara soal agama daripada kerusi empuk dan bilik berhawa dingin. Aku tidak mengatakan ianya salah, namun janganlah ianya dijadikan matlamat dan tujuan hidupnya. Perjuangan yang dihamparkan dengan keselesaan tidak dapat membentuk jiwa seorang pejuang kerana sunnah dalam perjuangan kesusahan dan cabaran itulah membentuk da'i yang kental jiwanya.
Terdapat juga dikalangan da'ie yang mengambil kesempatan ke atas demand masyarakat yang kian meningkat untuk hidup mengikut panduan agama. Pelbagai consultant ditubuhkan untuk menganjurkan program dan aktiviti dakwah. namun, agak menghairankan kerana bayaran yang dikenakan kurasakan agak mahal. Pada pandanganku, ini adalah kurang adil untuk keluarga yang kurang berkemampuan. Lagipun, bayaran yang mahal dikenakan akan menghadkan bilangan mad'u (sasaran dakwah) kita. Aku dapat merasakan kerana aku berlegar disekitar mereka yang bermasalah. Justeru, janganlah kita jadikan usaha mereka untuk berubah terhalang dek kerana bayaran yang dikenakan agak mahal. Malah, kerajaan perlu menjadikan program kesedaran ini sebagai Modul Wajib yang perlu diikuti oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja. Aku tertarik dengan usaha kerajaan negeri Selangor yang memperkenalkan SPIES. Spiritual, Physical,Intellectual, Emotional, Social yang seimbang untuk pelbagai lapisan masyarakat samada kanak-kanak, remaja, mahasiswa dan dewasa. Peruntukan yang ada pada kerajaan sama ada negeri ataupun persekutuan adalah wang rakyat yang menjdai amanah untuk disalurkan sebaiknya. dan sama-sama boleh dimanfaatkan.
Dalam kerancakan dakwah hari ini, timbul sedikit kerisauan dalam hati aku ni. Masakan tidak, fikiranku di belenggu persoalan sahabat-sahabatku. Ada yang mengikuti program-program dakwah di luar sana namun mereka kehairanan kerana terdapat penceramah yang memburuk-burukan individu lain yang tidak satu kapal dengannya walaupun individu tersebut bertaraf ulama'. Setiap manusia tidak sempurna, namun janganlah begitu mudah merendahkan golongan ulama' kerana apalah sangat ilmu yang ada pada kita jika nak dibandingkan dengan mereka. Apatah lagi ulamak itu yang smaa-sama turun padang berdakwah, bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat siang malam tanpa kenal erti penat jemu walau usia sudah menjangkau lebih 70 tahun.Apakah layaknya kita yang masih mentah ini, dengan hanya berbekalkan semangat tanpa pengalaman emas di medan ini sudah bisa untuk menghukum orang lain. Terdapat satu judul buku dalam bahasa Arab yang bermaksud "Pendakwah bukan Penghukum".. Ketaksuban pada kumpulan Islam masing-masing sehngga menyebabkan terkeluar daripada akhlak seorang da'i amatlah merugikan Islam kerana ianya akan menghapuskan nilai murni seorang pejuang Islam di samping melemahkan kesatuan Umat Islam. Kefahaman yang hanya kita perolehi daripada teori belum mencukupi lagi, kita harus membumikannya sehingga seluruh rakyat jelata mampu merasai kenikmatan berada di bawah kekuasaan Islam.
Aku yang baru setahun jagung graduate daripada universiti, memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan lapangan masyarakat luar yang pelbagai ragam, amat berbeza daripada pengalaman di kampus. Justeru, janganlah kita hanya seronok berteori dari atas kerusi empuk berbicara tentang dakwah namun tidak mampu untuk sama-sama dengan masyarakat mengharungi parit lumpur untuk menyeru kepada menghayati erti Islam yang sebenar. Masih ku teringat perkongsian temanku tentang pengalaman ekspidisi dakwah malam tahun barunya itu, dia berlegar-legar bersama dengan sekumpulan anak-anak muda yang khayal dengan arak dan seronok dengan fesyen up-to-date rambut yang masih teracak tegak. Anak muda itu bilang "sungguh kak, saya tak pernah pun di ajar bahawa arak itu haram, pergaulan bebas itu dosa.. Apa yang saya tahu bila datang sekolah saya di ajar ABC 123..tidak lebih dari itu...saya tidak kenal apa itu dosa..apa itu pahala kak...sungguh kak.." Begitulah realiti masyarakat sekeliling kita. Jika kita tidak membumikan dakwah ini kepada praktikal dan hanya berteori, Islam itu tertegak dengan idealistik dan tidak realistik untuk dihayati oleh sekalian manusia.

Monday, January 11, 2010

Pemergian Sahabat Ke Rahmatullah..

Al- Fatihah..

Marilah sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah kepada dua orang sahabat kita, Ikhwan dari UPSI yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini iaitu Faizol (subuh tadi) dan Fadiri (jam 10.32 pagi tadi) selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya,pulangnya dari program majlis ilmu. Semoga kedua-dua roh sahabat kita ini ditempatkan dikalangan hambaNya yang mendapat maqam yang tinggi di sisi Allah serta kita doakan agar mereka tergolong dikalangan para syuhada' yang diterima amalan mereka. Amin..

Hampir setiap hari masa ku habiskan di atas motorsikal kesayanganku ke sana sini. Hanya tawakkal yang kugantungkan pada Allah agar semuanya selamat dan biarlah destinasiku yang ku tuju ini tempat yang Allah redhai samaada majlis ilmu, bermusafir untuk menziarahi sahabat-sahabat, program-program dakwah dan sebagainya. Jika ke tempat maksiat pun, adalah dengan niat yang baik seperti ekspidisi dakwah mengedarkan risalah di tempat maksiat dan hiburan.

Jika kita fikirkan tentang kematian, memang menakutkan. Namun, sebenarnya apa yang perlu kita takutkan adalah 'kematian yang pasti akan terjadi pada setiap makhluk yang bernyawa itu, adakah kita meninggal dengan cukup persediaan?' iaitu selesai hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Mungkin ramai dikalangan kita berasal daripada individu yang tidak hidup dalam susana islamik..pernah terlalai dengan kehidupan sebelum berubah menjadi baik dengan hidayah Allah. Namun, tanggungjawab untuk melunaskan kewajipan perlu sama-sama kita laksanakan seperti menggantikan solat dan puasa yang pernah kita tinggalkan sewaktu zaman malap daripada hidayahNya. Begitu juga hubungan dengan manusia. Ini juga yang merungsingkan ku. Agak sukar untuk kita nak memohon maaf kepada semua orang dan memaafkan semua orang jika masih terpalit ego dalam diri kita. Aku hanya insan biasa yang tak sempurna..pernah juga ku memendam rasa..perasaan yang dilukai lebih parah daripada fizikal yang terluka keran luka fizikal ada parutnya namun luka di hati siapa yang tahu. Namun, kerana dituntut dalam Islam, kuharap agar aku diberi kekuatan untuk melakukan semua itu. insyaAllah.

Setiap hari yang berlalu..setiap detik itulah makin berkurangan stok usia kita yang masih berbaki. Aku sendiri tidak pasti selama manakah hela nafas ini mampu ku hembuskan. Namun, hidup mesti diteruskan. Tanggungjawab mesti dilaksanakan. Cuma, pertimbangan perihal kehidupan akhirat bisa membuatkan kita melangkah ke dalam kehidupan dunia ini dengan lebih berhati-hati.

HIDUP BIAR BERMAKNA..
SEBAIK-BAIK MANUSIA ADALAH YANG PALING BERMANFAAT UNTUK ORANG LAIN..

"BIARLAH KEHADIRAN KITA INI DI RASAI OLEH MASYARAKAT DAN KEHILANGAN KITA BOLEH DITANGISI MEREKA KERANA ADA SESUATU KEBAIKAN YANG TELAH KITA LAKUKAN YANG BOLEH MEMBERI MANFAAT KEPADA SEMUA MANUSIA. DI CAMPAK KE TANAH MENJADI PERKAMPUNGAN, DICAPAK KE TENGAH LAUT MENJADI PULAU DAN DI CAMPAK KE UDARA MENJADI JET PEJUANG"

Wednesday, December 30, 2009

Dakwah Untuk Semua

Hari ini aku amat gembira dapat bertemu semula dengan sahabat-sahabatku. Kerinduanku pada teman-teman yang sering mendorongku kepada kebaikan terubat sekembalinya mereka daripada cuti pengajian. Bila aku melihat aku dan teman-temanku, penampilan kami seperti pelajar sekolah agama walhal di universiti kami ini walaupun hampir 99% muslim, namun tiada bidang pengajian agama. Semuanya datang daripada kehendak Allah yang menggerakkan hati kami untuk mencari erti kehidupan dalam kelompok anak-anak muda yang inginkan kehidupan beragama sebagai cara hidup.

Kehidupan mahasiswa hari ini, agak merisaukan. Masakan tidak, kemestian untuk mencari pasangan hidup dengan cara yang bertentangan dengan nilai agama, berpakaian yang di anggap up to date namun seperti tidak bertamadun, keinginan yang ghairah untuk menukar perwatakan jantina: yang sudah jelita ingin menjadi tomboi, yang sudah kacak ingin menjadi ayu, manakala para pendidik di universiti hanyalah berperanan sebagai penyampai kepada silibus subjek yang ada, tidak lebih dari itu.

Namun, sesekali aku hairan melihat berbondong-bondong manusia yang ada kesedaran beragama agak menghadkan fokus sasaran dakwah. Mereka menumpukan di surau-surau dan program-program agama. Agak malanglah jika sesiapa yang tidak tergolong di kalangan 'kaki surau' ataupun 'pecinta majlis ilmu' sebab tidak ada golongan beragama yang ingin mendekati mereka. Seharusnya, suara dakwah ini perlu dilebarkan keseluruh dunia. Dakwah untuk semua. Risalah kebenaran ini tidak perlu memilih golongan tertentu.Mengapa hanya bertumpu di surau dan program agama semata-mata? Apakah kerana ingin meramaikan keahlian kelompok tertentu? Di manakah hakikat kewajipan berdakwah, adakah untuk amar ma'ruf semata-mata dan mengabaikan perintah nahi mungkar?

Sebenarnya, hakikat yang berlaku di luar sana lambakkan manusia yang masih berada dalam kegelapan, tidak menjadikan agama sebagai penyuluh kehidupan. Di manakah kita? Baru-baru ini aku dijemput untuk menyampaikan ceramah yang berkisar tentang akhlak remaja muslimah. Aku amat terkejut apabila dimaklumakan oleh urusetia program bahawa hampir 50% daripada peserta itu pernah menonton video lucah dalam hidup mereka. Mereka berusia sekitar 7-13 tahun. Seingatku, apabila aku mula menamatkan pengajianku, aku mula belajar untuk menyesuaikan diri dengan kelompok masyarakat yang lebih besar. Aku benar-benar terkejut, di sebuah pejabat, para pekerjanya menjadikan perkara-perkara yang lucah itu sebagai satu gurauan. Apatah lagi pekerja yang melalaikan solat, tak sempurna menutup aurat. Nah, inilah lapangan masyarakat sebenar yang menantikan suara dakwah asmpai pada mereka. Aku penat memikirkan, ya Allah..banyaknya tanggungjawab yang aku kena laksanakan. Kerja-kerja mengajak manusia ke jalan Allah tidak akan pernah habis. Itu baru di satu tempat, belum di kira lagi kelompok masyarakat yang lain. Aku pernah mengikuti sahabatku meronda-ronda di belakang Lorong Haji Taib pada jam 4 pagi. Ya Allah, perkara yang selama ini aku hanya tonton di tv dapat kulihat secara realiti. Memang hanya istighfar yang mampu ku ucapkan. "Mereka perlu di selamatkan", bisik hati kecilku.

Ya.. Allah, mampukah aku nak melaksanakan tanggungjawab ini? Usiaku tidak ku pasti berapa lamakah baki yang tinggal. Adakah masa rehatku melebihi masa untuk aku peruntukkan untuk menyeru manusia ke jalanMu? Aku khuatir ya Allah, seandainya di masyar kelak masyarakat ini akan menyalahkanku kerana kegagalan aku menyampaikan suara dakwah kepada mereka.

Baru-baru ini,aku ada mengikuti satu program anjuran kerajaan negeri Selangor, di bawah Exco Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali. Beliau merangka satu projek besar untuk amar ma'ruf nahi mungkar di negeri Selangor ini. Melalui projek GeMS (Generasi Idaman Selangor), banyak aktiviti dakwah yang dirancang untuk mendekatkan diri dengan pelbagai golongan masyarakat agar tidak asing dengan suara dakwah. Antaranya adalah program bersama-sama dengan penunggang wanita daripada kelab motor, boling remaja interaktif, futsal dan sebagainya. Program seperti ini mampu menarik anak-anak muda untuk hadir ke program dan pengisian adalah yang berbentuk mengajak mereka kepada kebaikan. Alhamdulillah, amanah yang dipikul dilaksanakan dengan sebaiknya untuk menjalankan kewajipan berdakwah dengan lebih berkesan. Tidak kusangka, para penunggang itu yang kelihatan rockers tidak kekok bila berada bersama dnegan teman-temanku, walaupun ada dikalangan temanku itu berpurdah. Sekurang-kurangnya, program ini mampu mendekatkan jurang antara dua golongan yang dilihat berbeza di mata masyarakat ini.

Namun, dalam keseronokanku kerana aktiviti dakwah kian racak dijalankan di selangor dalam tempoh dua tahun ini, masih terpalit kesedihan dalam hati kecilku. Di Malaysia terdapat banyak kelompok Islam yang ada. Namun, agak malang kerana mereka menjadikan kelompok Islam yang berbeza dengan mereka itu sebagai satu pesaing. Lantas, mereka bersaing dengan tidak sihat. Maka, berlakulah perbuatan yang kurang bermoral dikalangan pendokong agama iaitu keji mengeji, kata-mengata dan kutuk mengutuk terhadap kelompok Islam yang tidak bersama dengan mereka. Adakah mereka tidak sedar bahawa, kelompok Islam yang berbeza itu adalah sahabat, bukannya musuh. Kerana musuh Islam telah sedia ramai berada di luar sana. Dalam peperangan Ahzab, pihak musuh boleh bersatu untuk menentang Islam. Namun, sedih bilamana terdapat kelompok Islam yang saling memburuk-burukkan antara satu sama lain. Sebenarnya, tidak adapun kelompok Islam yang sempurna. Setiap satunya ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Itulah yang sepatutnya melengkapkan antara satu sama lain.Amatlah malang jika sesama pendokong Islam ini bercakaran sesama sendiri. Amat merugikan ISlam dan menyenagkan musuh kerana percakaran yang berlaku tidak menambahkan kekuatan kita.

Aku hairan, jika dengan kelompok bukan Islam kita boleh berkerjasama. Sebagai contoh, untuk kelompok pelajar, mereka boleh bersatu di bawah SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia) yang mana keahliannya daripada kelompok Dema (mahasiswa berbangsa Cina), Universiti Bangsar Utama (ada golongan mahasiswa berbangsa india), Gamis, Karisma, dan PKPIM. Namun, diperingkat pertubuhan kelompok Islam sendiri, tidak bersatu di bawah satu entiti. Ada banyak kelompok Islam di Malaysia ini, samada peringkat induk mahupun peringkat mahasiswa. Gamis , Karisma / Konsist, PKPIM, Pembina / ISMA, Haluan, PKS, Hizbut Tahrir, Tabligh, PAKSI dan sebagainya. Sampai bila kita tidak akan bersatu? Sedangkan dalam surah As-Soff ayat 4 Allah berfirman "Sesungguhnya Aku mencintai orang-orang yang berjuang pada jalanNya dalam 1 Soff seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh". Maksudnya, Allah amat membenci orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam banyak soff. Kenapakah kita tidak boleh bersatu? Kerana setiap kelompok ingin menjayakan agenda masing-masing dan agak sukar berlapang dada dengan kelompok yang lain. Inilah yang dimusykilkan, kerana semua kelompok Islam ini bermalatkan untuk menegakkan Islam, cuma kaedah dan pendekata yang berbeza.

Aku harapkan, untuk kepentingan masa depan Islam dan ummah sejagat, adanya uasaha untuk mendekatkat jurang yang terpisah antara kelompok-kelompok Islam ini. Tidak perlu kita terlalu taksub pada kelompok masing-masing kerana organisasi yang didokongi itu hanyalah platform semata-mata untuk mencapai matlamat pejuangan Islam.

Sunday, December 6, 2009

MANISNYA UKHUWAH KALAU...

Manisnya ukhuwwah itu
andainya ia terjalin kerana cintaNya

Ukhuwah adalah anugerah istimewa daripada ilahi
Chemistry yang mengikat hati dengan bonding keimanan pada rabbul Iazzati
Sentuhannya mampu mencairkan sejuta keangkuhan
Tiada beza rupawan atau hartawan
Kerana semua itu pinjaman dan kurniaan Tuhan
Bukan kuan kudrat diri yang menjadikan

Bagi ukhuwwah itu nilainya amat mahal
kerana

hanya kerana ukhuwwah
pengorbanan sanggup dicurahkan
demi sahabat seperjuangan tercinta
walaupun mata tidak sering bertentangan
namun tautan hati sudah cukup meyakinkan

Kisah agung nilai persahabatan
Abu Bakar teman yang setia di sisi baginda
Membenarkan ketika dilihat dusta dan gila
Kerana amanah Tuhannya diturutkan sahaja
Mengembara ke langit ke tujuh meninggalkan bumi tercinta

Ansar dan muhajirin sebagai bukti
Ukhuwwah islamiyyah tiada sempadan tidak bertepi
Bangsa dan keturunan ditolak tepi
Walau pertama kali bersua sanggup dituruti
Untuk kesinambungan perjuangan suci


Segala kepentingan rela dikorbankan
Asalkan sahabat tiada lagi menanggung kesedihan
Perintah Allah dengan rela diturutkan
Meninggalkan kampung halaman demi iman
Menyahut seruan hijrah, sejuta pengorbanan
Tiada bekalan sehelai sepinggang
Tawakkal padaNya sudah mencukupkan

Namun...

Disebalik kemanisan ukhuwah itu
Mungkin tertumpah setitis cuka
Yang jatuh ke tangan yang luka
Pedih sangat dirasa
namun
Andai persahabatan ini terjalin keranaNya
tiada dendam kesumat tersimpan dijiwa
walau luka telah dirawat namun parut masih ada
demi kasihNya semuanya diterima seadanya

Hatiku sangat mengimpikan
Dibangkitkan bersama satu golongan
Dalam hadith ada menjanjikan
HambaNya yang berkasih sayang keranaNya akan dikumpulkan
Mendapat naungan arasynya,di hari penuh kedasyatan

Kasih sahabat tidak berakhir
Apabila berakhir nafas dibibir


Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang sudi menjadi sahabatku..
Tidak terbayar nilai pengorbanan
Keikhlasan ,dalam susah dan senang
Tidak ditnggalkan aku sendirian.